Hashim Jasin tanding Arau, Tuan Ibrahim di Kubang Kerian

SHAH ALAM: Gagasan Sejahtera mengumumkan Mursyidul Am PAS Hashim Jasin akan bertanding di Parlimen Arau dan Timbalan Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man bertanding di Parlimen Kubang Kerian.

Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengumumkan pencaloan mereka di ceramah perdana Jelajah Presiden PAS dan Munajat Pilihan Raya Umum ke-14 di Shah Alam semalam.

Pada PRU13, PAS gagal menawan Arau apabila calonnya, Datuk Haron Din tumpas di tangan calon BN, Datuk Seri Shahidan Kassim dengan perbezaan 1,371 undi sahaja.

Di Kubang Kerian pula, Tuan Ibrahim akan mempertahankan kemenangan Ahmad Baihaki Atiqullah yang menewaskan pencabar, Anuar Safian, dengan majoriti selesa 16,741 undi.

Dalam pengumuman berasingan, Pesuruhjaya PAS Selangor Sallehen Mukhyi mengumumkan calon bagi 2 kerusi Parlimen dan 5 kerusi DUN di Selangor.

Ketua Pemuda Parti Ikatan Bangsa Malaysia (Ikatan) Shahir Adnan akan bertanding di Parlimen Subang manakala Timbalan Presiden Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa) Brig Jen (B) Datuk Hashim Abdul Karim diletakkan di Parlimen Selayang.

Naib Presiden Ikatan, Mej Jen (B) Datuk Seri Mohamed Badri Abdul Rahman akan bertanding di DUN Subang Jaya; Bendahari Agung Ikatan, Datuk Seri David Sew Kah Heng di DUN Bukit Gasing dan Pengerusi Ikatan Kota Raja, Santokh Singh Gurdev Singh di DUN Pandamaran.

Bendahari Ikatan Selangor, Datuk Lim Ying Ran akan bertanding di DUN Kinrara manakala AJK PAS Kuala Selangor Jefri Mejan akan bertanding di Ijok.