Kini, SPR benarkan lambang parti selain parti bertanding di atas poster

PETALING JAYA: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berkata lambang dan gambar pemimpin parti yang berpakat dengan parti calon yang bertanding boleh digunakan pada poster kempen, dalam panduan khas penggunaan poster menjelang hari pemilihan 9 Mei nanti.

Panduan yang dikeluarkan itu juga mensyaratkan parti politik yang bertanding mendapatkan permit khas untuk bahan kempen.

Difahamkan panduan terkini SPR itu bermakna lambang parti lain boleh digunakan sekiranya parti itu mempunyai persefahaman dengan parti calon yang bertanding, walaupun sebelum ini ia tidak dibenarkan.

Kempen pilihan raya selama 11 hari bermula sebaik sahaja selesai penamaan calon Sabtu ini.

Antara lain, SPR berkata ia membenarkan penggunaan gambar pemimpin parti, bagaimanapun ia terhad kepada presiden dan timbalan presiden atau jawatan setarafnya.

Pada kain rentang besar pula, hanya presiden, timbalan presiden, pesuruhjaya negeri, menteri besar atau jawatan setaraf mereka boleh dipaparkan oleh parti yang bertanding.

Menurut SPR, panduan itu akan dikuatkuasakan oleh sejumlah 445 Penguat Kuasa Kempen Pilihan Raya (PP-KPR) yang dilantik di seluruh negara, yang bertugas memastikan semua calon dan parti tidak melanggar Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

Mereka antara lain diberikan kuasa menurunkan bahan kempen yang melanggar akta tersebut, di samping mendapatkan bantuan polis untuk memberhentikan ceramah atau program yang tidak mempunyai permit.

“SPR menyeru agar setiap calon atau parti politik yang bertanding supaya tidak berkempen dengan cara yang boleh menimbulkan hasutan, permusuhan, mengembangkan perasaan jahat dan sebagainya selaras dengan Seksyen 4A, Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954,” kata Pengerusi SPR, Tan Sri Mohd Hashim Abdullah.

Selain Barisan Nasional yang didaftarkan untuk menggunakan simbol dacing, 2 gabungan pembangkang besar di Semenanjung termasuk Pakatan Harapan (PH) dan Gagasan Sejahtera.

PH memutuskan untuk menggunakan hanya lambang PKR, dalam usaha menunjukkan kesatuan pembangkang, walaupun gagal didaftarkan oleh Pendaftar Pertubuhan sebagai sebuah gabungan sah.

Sebelum ini, Hashim berkata hanya simbol PKR boleh digunakan sekiranya ia menjadi logo pilihan calon PH.

“Katalah di Putrajaya, bertanding cuma 3 parti, iaitu parti A, parti B dan parti C. Cuma parti A, B, C sahaja yang kita benarkan pasang bendera dan kain rentang di Putrajaya,” Hashim dipetik berkata pada 7 April lalu.

SPR: Jika pilih PKR, PH hanya boleh guna logo mata berkempen

Klik sini untuk perkembangan sepanjang musim PRU14