Nik Abduh tinggalkan Pasir Mas ke Bachok, kata sumber

KOTA BHARU: Nik Mohamad Abduh dikatakan akan meninggalkan Parlimen Pasir Mas yang dirasakan kerusi selamat ke Parlimen Bachok, yang hanya bertahan dengan perbezaan 201 undi sahaja.

Sumber parti memberitahu PAS berharap kehadiran anak bekas menteri besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, akan meningkatkan majoriti undi pada pilihan raya kali ini.

Calon PAS yang akan bertanding di Bachok sekali lagi berdepan bekas timbalan menteri kewangan, Datuk Awang Adek Hussin hampir menawan kerusi itu pada PRU13.

“Majoriti wakil rakyat wanita PAS yang menang PRU lepas dicalonkan semula kali ini. Nik Abduh akan ke Bachok dalam usaha memperkukuhkan PAS di Kelantan, dan di Pasir Mas, PAS akan letak calon tidak kurang hebat,” kata sumber.

Menurutnya lagi, kemenangan Nik Abduh di Bachok akan mengekalkan anak ke-5 Nik Aziz itu dalam arena politik tanah air.

“Kawasan Bachok dengan kediaman Nik Abduh di Pulau Melaka tidaklah jauh. Hanya bersebelahan kawasan sahaja jadi tidak ada masalah jika beliau betul dicalonkan di Bachok dan berkhidmat untuk rakyat Bachok,” katanya.

Keputusan rasmi dijangka dibuat malam ini.

Pada pilihan raya lepas, Nik Abduh mempertahankan Pasir Mas bagi Kelantan dengan menewaskan calon bebas Datuk Ibrahim Ali dengan majoriti 8,047 undi.

Di Bachok, walaupun PAS menyapu bersih DUN Tawang, DUN Pantai Irama dan DUN Jelawat pada PRU13, calonnya Ahmad Marzuk Shaary memperoleh 35,419 undi berbanding 35,218 undi yang diberikan kepada Awang Adek.

Menurut sumber, Marzuk akan digerakkan ke Parlimen Pengkalan Chepa, yang disifatkan sebagai kerusi selamat. PAS tidak pernah tewas di kerusi itu, dan meninggalkan pencabar dengan perbezaan 15,120 undi pada PRU13.

Kedudukan Nik Abduh akan diumumkan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang di perkarangan Stadium Sultan Muhammad IV di Kota Bharu, malam ini.