Polis: 2 suspek bunuh pensyarah Palestin masih di Malaysia

Fuzi Harun (tengah) menunjukkan lakaran wajah 2 suspek yang disyaki membunuh Fadi al-Batash.

KUALA LUMPUR: Dua suspek yang disyaki membunuh pensyarah warga Palestin, Fadi al-Batash masih berada di Malaysia, kata ketua polis negara.

Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, polis bagaimanapun menghadapi kesukaran mengesan 2 lelaki itu yang dipercayai memasuki Malaysia akhir Januari lalu dan disyaki menggunakan identiti palsu.

“Suspek dipercayai masih berada di dalam negara. Masalahnya, suspek berkemungkinan guna identiti palsu.

“Walaupun gambar yang kita perolehi ini gambar sebenar, mungkin suspek akan cukur misainya dan botakkan kepala,” katanya pada sidang media di Bukit Aman hari ini.

Sabtu lalu, Batash yang juga pensyarah sebuah universiti swasta tempatan ditembak mati di luar kondominiumnya di Setapak, ketika berjalan ke Surau Medan Idaman untuk mengimamkan solat subuh kira-kira 6 pagi.

Dua lelaki bermotosikal dikatakan menunggu mangsa kira-kira 20 minit sebelum melepaskan lebih 10 das tembakan ke arah mangsa berusia 35 tahun itu.

Polis mengesyaki 2 suspek yang disyaki membunuh Fadi al-Batash menggunakan identiti palsu.

Semalam, polis mengesahkan penemuan sebuah motosikal jenama Kawasaki dipercayai digunakan suspek dalam kes pembunuhan Batash yang ditinggalkan dalam jarak 9 minit dari lokasi pembunuhan dekat Tasik Danau Kota, Setapak.

Difahamkan, motosikal yang ditinggalkan berhampiran tasik itu ditemui orang awam yang kemudian melaporkannya kepada polis.

Hari ini, Fuzi mengesahkan motosikal yang ditemui itu bukan motosikal curi, namun enggan mendedahkan butiran lanjut mengenai pemilik motosikal itu.

“Saya tidak boleh kata ya atau tidak, sama ada pembunuh ini profesional atau tidak. Ia masih disiasat, tetapi kita lihat keseluruhan aspek berkaitan.

“Kami percaya ia dilakukan dengan cara profesional dan ada kemungkinan mereka sudah mendapat latihan. Kami sedar mengenai perkara ini.”

Beliau juga tidak mengesahkan pembunuhan Batash dilakukan ejen perisikan Israel, Mossad.

“Saya tidak pernah kata Mossad, jangan serkap jarang. Saya tidak pasti dan kita perlu benar-benar memastikan dan laporkan perkara sebenar.

“Kami masih tidak dapat memastikan identiti suspek yang lakukan pembunuhan Batash. Kami sedang bekerjasama dengan agensi-agensi dan bantuan orang ramai,” katanya.

 

Pensyarah universiti dari Palestin maut ditembak ketika ke surau

Kes pensyarah Palestin: Polis nafi lewat tiba selepas 43 panggilan