Saifuddin janji tak akan ulangi kesilapan PRU13

Saifuddin Abdullah tidak menjangkakan pengundi Cina akan menentangnya pada 2013.

SHAH ALAM: Calon PKR untuk Parlimen Indera Mahkota, Pahang, Datuk Saifuddin Abdullah mendapat pengajaran daripada kekalahannya pada pilihan raya umum ke-13 (PRU13).

Beliau mengakui terlalu yakin ketika bertanding atas tiket Barisan Nasional (BN) menentang calon PAS, Nasrudin Hassan di Parlimen Temerloh.

“Saya tidak menjangkakan pengundi Cina berubah sokongan (kepada pembangkang),” katanya kepada FMT.

Walaupun enggan mengulas panjang, Saifuddin berkata kesilapan yang beliau tidak akan ulangi pada pemilihan akan datang adalah memandang rendah pihak lawan.

“Saya mempunyai hubungan yang rapat dengan orang Cina dan saya rasa semuanya berjalan lancar.

“Saya tersalah kira fenomena ‘Ubah’; itu kesilapan saya,” katanya.

Ini kali ke-2 Saifuddin berdepan Nasrudin selepas PRU lepas di mana Saifuddin kalah kepada Nasrudin dengan beza 1,070 undi di Temerloh.

Saifuddin mengakui sekarang tidak ada jaminan “tsunami Melayu” yang diperkatakan ramai akan berlaku pada 9 Mei.

Bercakap pada satu forum di Universiti Selangor hari ini, beliau berkata jika “tsunami Melayu” berlaku, ia akan dirasai pada 3 hari terakhir sebelum hari pengundian.

Ini berdasarkan pengalamannya semasa bertanding Parlimen Temerloh pada PRU 2008 dan 2013.

“Pada 2008, saya tidak merasakan apa-apa. Tetapi menjelang 3 hari terakhir pada 2013, saya dapat merasakan saya akan kalah. Perasaan itu tidak boleh dinafikan,” katanya.

Pada 2008, Saifuddin menentang Ahmad Nizam Hamid dari PKR dan menang dengan majoriti lebih 2,400 undi.

Saifuddin berkata sekiranya “tsunami Melayu” berlaku beberapa hari sebelum pilihan raya pada 9 Mei, beliau percaya ia disebabkan oleh pakatan antara bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan bekas timbalannya, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Ini adalah 2 pemimpin Melayu ikonik yang sekali lagi berjuang untuk pasukan yang sama. Ini akan mewujudkan platform yang diperlukan untuk tsunami Melayu ini.”

Klik sini untuk perkembangan sepanjang musim PRU14