Terbongkar: Lelaki Malaysia gila seks cuba umpan budak-budak menerusi WhatsApp

Antara perbualan mengenai budak-budak lelaki yang ditemui Fazrysham Kamran dalam kumpulan sembang dalam talian.

PETALING JAYA: Gambar dan video aksi seks antara lelaki dewasa dan budak lelaki berusia 11 hingga 15 tahun dikongsi dalam kumpulan sembang di media sosial, kata aktivis yang menyusup masuk dalam satu kumpulan itu.

Fazrysham Kamran mendapat tahu terdapat 4 kumpulan di WhatsApp. Ramai ahli berkata mereka mengenali budak-budak lelaki melalui WeChat, sati lagi aplikasi pesanan yang popular.

Fazrysham Kamran

“Ia menakutkan. Kumpulan yang saya perhatikan sentiasa dikemas kini dengan gambar dan video aksi seks antara lelaki dewasa dan budak lelaki,” katanya kepada FMT dalam temu bual.

“Mereka menggambarkan aksi seks menjijikkan dan bagaimana mereka menarik budak lelaki, dan juga menggambarkan bahagian intim budak-budak itu secara terperinci,” kata Fazrysham, yang lebih dikenali sebagai Sham.

Sham dan 7 rakannya yang lain ialah ahli NGO yang dikenali sebagai Komuniti Harmoni Kita yang mereka mulakan lebih setahun lalu selepas membaca laporan media mengenai kes pedofilia.

Kumpulan ini mendekati pelajar sekolah untuk meningkatkan kesedaran tentang pedofilia, mengajar mereka bagaimana untuk kekal selamat, di mana orang dewasa tidak sepatutnya menyentuh mereka dan apa yang harus dilakukan jika mereka disentuh dengan cara tidak sepatutnya.

Semasa melayari Facebook seminggu yang lalu, Sham menjumpai kiriman yang membimbangkan: seseorang menyiarkan gambar budak lelaki berusia 14 tahun dalam kumpulan persendirian untuk homoseksual, mengatakan “budaknya” kacak, diikuti komen yang membimbangkan.

Sham dan rakannya, Mohd Shahrulnizam Alias kemudian mendaftar untuk menyertai kumpulan WhatsApp yang dipromosikan oleh beberapa pengulas dalam kumpulan Facebook itu.

“Terdapat 248 ahli dalam kumpulan itu sahaja. Saya difahamkan ada 3 kumpulan lain kerana kumpulan sembang WhatsApp hanya boleh menampung 250 orang pada satu masa.”

Daripada apa yang dilihatnya dalam kumpulan WhatsApp itu, kira-kira 90% daripada mangsa budak lelaki Melayu berusia antara 11 hingga 15 tahun, di mana maklumat, gambar dan video mereka dikongsikan dalam kumpulan itu.

“Ramai pedofil dalam kumpulan itu berkata mereka temui budak-budak itu melalui WeChat dan berkata kebanyakan mereka pelajar sekolah asrama. Beberapa pedofil tidak takut untuk bercakap mengenai diri mereka, seorang lelaki yang saya bercakap dengannya berkata dia seorang jurutera dan mempunyai beberapa orang anak.”

Sham berkata ibu bapa mesti mengehadkan masa yang dihabiskan anak-anak dengan gajet, dan memberi tumpuan kepada mereka supaya tidak terarah ke tempat lain.

“Pedofil tahu bagaimana mendapatkan kepercayaan kanak-kanak, mereka tahu apa yang hendak dikatakan,” katanya. “Saya rasa lebih mudah bagi pedofil menyasarkan kanak-kanak pada umur ini kerana sifat ingin tahu, mahu perhatian dan mereka mempunyai akses kepada media sosial.”

Beliau membuat 3 laporan polis mengenai aktiviti pedofilia yang temuinya di kumpulan Facebook dan WhatsApp.

Sham berkata cabaran dalam mendapatkan mangsa untuk bersuara adalah selalunya mereka diberi sepenuh perhatian dan penjagaan oleh pedofil dan mereka takut terputus hubungan jika berterus-terang.

“Kami cuba menggalakkan mangsa menjadi lebih berani, tetapi kebanyakan masa, mereka yang datang untuk mendapatkan bantuan kami, tampil beberapa tahun selepas kejadian.”

Dua tahun lalu, pedofil warga Britain, Richard Huckle didedahkan di mahkamah Britain apabila dia disabitkan dan dijatuhi hukuman penjara seumur hidup dengan 22 tuduhan mencabul kanak-kanak di Malaysia.

Mahkamah diberitahu beliau mendera secara seksual hampir 200 kanak-kanak berusia antara 6 bulan hingga 12 tahun dalam tempoh hampir 9 tahun sejak 2006.

 

Dua mangsa pedofilia Richard Huckle ditemui