Terima suapan RM7,000, SPRM tahan pegawai polis

Menurut sumber SPRM, pegawai 31 tahun yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang itu ditahan di IPD terbabit kira-kira 8.45 malam tadi.

SHAH ALAM: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan seorang pegawai polis berpangkat inspektor kerana disyaki menyalah guna kuasa meminta dan menerima suapan RM7,000 daripada seorang lelaki yang sedang dalam siasatan polis.

Menurut sumber SPRM, pegawai berumur 31 tahun yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang itu ditahan di IPD terbabit kira-kira 8.45 malam tadi.

Pegawai polis itu dipercayai cuba mengambil kesempatan ke atas seorang lelaki yang disiasat selepas polis menerima laporan menyatakan dia mengugut teman wanitanya.

“Pegawai polis terbabit meminta wang rasuah RM7,000 daripada lelaki tersebut supaya tindakan tidak diambil ke atasnya,” kata sumber berkenaan hari ini.

Sementara itu, Pengarah SPRM Selangor Datuk Alias Salim ketika dihubungi mengesahkan penahanan itu dan berkata suspek akan direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009.