Wan Azizah kecam syarat haramkan gambar Dr M, Anwar

PETALING JAYA: Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mengecam syarat tambahan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tentang penggunaan bahan kempen, menyifatkan ia tindakan terdesak mengharamkan gambar Tun Dr Mahathir Mohamad dan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Presiden PKR berkata SPR melangkaui tugas dan tanggungjawab utama yang termaktub dalam Perkara 113 Perlembagaan Persekutuan, iaitu menjalankan pilihan raya, menyediakan dan menyemak daftar pemilih serta menjalankan kajian semula bahagian pilihan raya.

“SPR harus memastikan pilihan raya umum ke-14 berjalan secara bebas, bersih dan adil, bukannya menetapkan syarat-syarat yang berat sebelah dan tidak masuk akal,” kata Wan Azizah dalam kenyataan hari ini.

Beliau menambah penetapan syarat tambahan penggunaan bahan kempen seperti ini pertama kali dalam sejarah pilihan raya negara.

Gabungan PKR, PPBM, DAP dan Amanah menamakan Dr Mahathir sebagai calon perdana menteri sebelum Anwar, mengharapkan gandingan bekas perdana menteri dan timbalan perdana menteri itu untuk menarik undi orang Melayu.

Semalam, SPR menetapkan parti bertanding hanya boleh menggunakan wajah presiden, timbalan presiden atau setaraf denganya pada gambar pemimpin utama dalam bahan kempen sepanjang pilihan raya.

Suruhanjaya menambah penggunaan gambar pemimpin utama berdasarkan lambang parti politik yang didaftarkan calon semasa hari penamaan.

“Jawatan selain daripada presiden dan timbalan presiden (atau setaraf) parti adalah tidak dibenarkan,” kata Pengerusi Tan Sri Mohd Hashim Abdullah.

“Gabungan gambar pemimpin utama parti politik di atas satu bahan kempen yang sama hanya dihadkan kepada presiden, timbalan presiden, pengerusi negeri (atau setaraf), menteri besar/ketua menteri dan calon.”

Beliau menjelaskan “penyelarasan” semula dasar sedia ada bagi memastikan kempen berlangsung secara aman, lancar serta “tidak mengelirukan pengundi”.