Harga minyak tak ubah 5 minggu kerana PRU14, soal PH

Wan Azizah Wan Ismail berkata, pengekalan harga petrol dan diesel selama 5 minggu berturut-turut membuktikan harga minyak sebenarnya boleh distabilkan.

PETALING JAYA: Pakatan Harapan (PH) hari ini mempersoalkan kerajaan jika tindakan mengekalkan harga petrol dan diesel selama 5 minggu berturut-turut disebabkan pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

“Sungguhpun harga minyak Brent berada di paras paling tinggi sejak November 2014, harga kekal untuk 5 minggu berturut-turut.

“Ini menimbulkan persoalan adakah harga petrol dan diesel tidak berubah selama 5 minggu berturut-turut kerana PRU14 akan berlangsung pada 9 Mei ini?” soal Presiden PH, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dalam satu kenyataan hari ini.

Presiden PKR itu berkata, pengekalan harga petrol RON95, RON97 dan diesel sejak 22 Mac lalu membuktikan harga minyak sebenarnya boleh distabilkan.

Semalam, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) mengumumkan harga runcit minyak di negara ini tidak berubah untuk minggu ke-5 berturut-turut iaitu RON95 berharga RM2.20 seliter, RON97 RM2.47 seliter dan diesel RM2.18 seliter.

Hari ini, Wan Azizah mengulangi ikrar PH memperkenalkan semula subsidi secara bersasar untuk menstabilkan harga petrol dan diesel dalam tempoh 100 hari pertama pentadbiran gabungan pembangkang itu, jika mereka memenangi PRU14.

Katanya, ia sejajar teras utama pentadbiran PH untuk meringankan beban hidup rakyat.

Mulai 29 Mac 2017, harga petrol dan diesel yang ditentukan sistem apungan terurus, diumumkan secara mingguan pada setiap Rabu berbanding setiap bulan.

Harga petrol dan diesel diletakkan di bawah sistem apungan terkawal secara bulanan sejak 1 Disember 2014, berikutan penghapusan subsidi minyak.

Klik sini untuk perkembangan sepanjang musim PRU14