Itu kapal selam lama, TLDM jelaskan gambar di Muzium Melaka

Antara kiriman di Facebook berkenaan gambar sebuah kapal selam tersadai.

PETALING JAYA: Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) menafikan beberapa kiriman di media sosial yang mendakwa sebuah aset tentera yang “tersadai” merupakan kapal selam Scorpene yang dibeli dari Perancis.

Sebaliknya, TLDM berkata kapal selam yang dilihat dalam gambar yang tersebar luas itu ialah dari kelas Agosta 90 yang terpakai bernama Ouessant, dan pernah digunakan tentera sewaktu latihan di Perancis.

“Kapal selam Ouessant ini diberikan secara percuma oleh Kerajaan Perancis untuk dijadikan muzium,” kata kenyataan TLDM merujuk kapal selam yang dipamerkan di Muzium Melaka itu.

Menurutnya, ia tidak ada kaitan dengan kapal selam Scorpene, KD Tunku Abdul Rahman dan KD Tun Razak, yang menjadi kontroversi ketika dibeli dengan harga lebih RM3 bilion di bawah perjanjian dimeterai dengan syarikat Perancis pada 2002.

“Kedua-dua kapal selam ini tiada kena mengena langsung dengan kapal selam yang dipamerkan di Melaka. Kapal selam di Melaka itu hanyalah sejarah dalam penubuhan Angkatan Kapal Selam TLDM,” kata kenyataan itu.

Dakwaan sosial media itu dipercayai berkait dengan laporan masalah pernah dialami kedua-dua kapal selam itu ketika tiba di perairan Malaysia pada 2010.

Sebelum ini, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menuduh pembangkang di sebalik penyebaran maklumat palsu mengenai kapal selam kelas Agosta yang tidak digunakan itu.

“Muzium pun kena fitnah. Memang betul tak ada modal pembangkang ni. Fikirlah macam ini kah golongan yang nak dijadikan pemimpin? #TsunamiPHitnah,” tulisnya di Twitter.

Pembelian 2 kapal kelas Scorpene itu sebelum ini menjadi antara subjek penyiasatan pihak berkuasa Perancis, di sebalik dakwaan €114 juta (RM576.86 juta) dibayar kepada Perimekar, sebuah syarikat berpangkalan di Malaysia dikaitkan dengan Abdul Razak Baginda, penganalisis politik yang pernah didakwa atas tuduhan membunuh warga Mongolia, Altantuya Shaariibuu pada 2006.

Razak bagaimanapun dibebaskan daripada tuduhan itu.