Jangan agung individu berunsur komunis, kata Mahdzir kepada pembangkang

Menurut Datuk Seri Mahdzir Khalid, siapa tidak menentang musuh dan menyokong komunis, mereka ini tidak boleh dilihat sebagai wira negara. (Gambar Twitter)

YAN: Pihak pembangkang diingatkan supaya tidak menimbulkan kekeliruan dalam kalangan rakyat dengan mengagungkan individu tertentu yang membawa unsur komunis ke dalam negara, kata Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Kedah Datuk Seri Mahdzir Khalid.

Beliau berkata sifat tidak sensitif dan peka terhadap sejarah negara itu memperlihatkan pakatan pembangkang hanya ingin bawa kefahaman mengikut kehendak mereka sendiri dan akan mengubah sejarah negara sekiranya diberi peluang memerintah negara.

“Dalam buku teks Sejarah sekolah, ada dinyatakan siapa pejuang negara dan siapa yang menjadi musuh kepada negara. Jadi, siapa yang tidak menentang musuh dan menyokong komunis, mereka ini tidak boleh dilihat sebagai wira negara,” katanya kepada pemberita hari ini.

Mahdzir yang juga menteri pendidikan berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan calon DAP kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bandar Utama, Selangor, Jamaliah Jamaludin yang mengangkat neneknya Shamsiah Fakeh sebagai seorang wirawati dan pejuang bangsa yang amat penting dalam sejarah negara.

Shamsiah ialah seorang pejuang berhaluan kiri sebelum dan selepas Tanah Melayu merdeka pada 1957.

Terdahulu, Mahdzir melawat Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Dedap, dan mengumumkan peruntukan RM3.2 juta kepada Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Kuala Muda/Yan untuk kerja-kerja penyelenggaraan dan pembaikan sekolah.