Mungkin saya silap mengenai modal perniagaan 1MDB, kata Najib

Najib Razak selepas wawancara bersama Bloomberg. (Gambar Bloomberg)

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak mengakui beliau mungkin melakukan beberapa kesilapan dalam mencetuskan idea 1MDB, syarikat milik Kementerian Kewangan yang terlibat dalam siasatan antarabangsa, tetapi menolak tuduhan beliau mencuri aset firma itu.

Bercakap kepada Bloomberg, Najib berkata 1MDB mempunyai isu urus tadbir tetapi “anda tidak boleh menuduh seseorang sebagai pencuri atau sebagainya melainkan ada bukti”, katanya, merujuk tuduhan yang sering dilontarkan pembangkang khususnya Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Tidak ada salah laku, saya berpegang kepada ini,” kata perdana menteri dalam wawancara pertama beliau bersama agensi berita asing sejak 3 tahun.

Najib mengakui imej Malaysia dan kerajaannya menerima kesan daripada kontroversi 1MDB, sambil mengakui kelemahan modal perniagaan 1MDB.

“Mungkin saya tidak akan mengambil modal perniagaan seperti itu. Mungkin saya patut mengenakan pengawalan lebih ketat.

“Tetapi semua orang belajar daripada kesilapan,” katanya.

Najib turut melahirkan keyakinan Barisan Nasional (BN) akan menang pada pilihan raya bulan depan, tetapi enggan berkata sama ada gabungan itu akan menang dengan majoriti besar.

“Saya tidak melihat suatu gerakan yang benar-benar berupaya menukar kerajaan. Tetapi saya tidak mengatakan kami akan menang dengan majoriti besar, saya tidak ramalkan sebegitu, tetapi saya katakan kami yakin dengan keputusan munasabah yang bakal didapati,” katanya.

Menurutnya, pembangkang bakal berdepan masalah susulan ketiadaan PAS dalam gabungan mereka, yang kini dinamakan Pakatan Harapan (PH).

Sentimen perubahan di kalangan pengundi Cina pada pilihan raya umum lalu juga semakin pudar, kata Najib.

“Kini, mereka sedar ia mustahil. Saya berpendapat gelombang itu sudah berkurangan,” katanya.

Mengenai seteru utamanya Dr Mahathir, Najib menyifatkan bekas perdana menteri itu seorang yang obses untuk mengawal dan membuat keputusan.

“Memang dulu kami rapat, dan ketika itu beliau pernah mencadangkan diwujudkan sebuah ‘majlis penasihat kerajaan’,” kata Najib.

“Sudah tentu anda boleh teka siapa akan mempengerusikan majlis itu, seperti seorang perdana menteri di setiap mesyuarat kabinet. Mungkin saya perlu selalu ke pejabatnya untuk mendapatkan restu,” kata Najib.

Najib berkata beliau seorang pejuang dalam politik, dan pengalamannya ketika belajar di sekolah asrama menjadikannya cekal.

“Saya mungkin nampak lunak dari segi perwatakan, tapi daya tahan saya kuat. Saya tidak mudah menyerah kalah,” katanya.

Klik sini untuk perkembangan sepanjang musim PRU14