PKR Terengganu pilih calon dengan teliti selepas fobia calon pil kuda

Azan Ismail berkata, PKR akan menjadikan peristiwa itu sebagai pengajaran dan memilih calon dengan lebih teliti, bukan sekadar tangkap muat.

KUALA TERENGGANU: PKR Terengganu yang fobia dengan fitnah “calon pil kuda” pada 2013, menjadikan memori pahit itu pengajaran untuk memilih calon secara ketat dan berhati-hati kali ini, kata Pengerusinya, Azan Ismail.

Beliau merujuk calon PKR di Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Besi, Shamsul Mat Amin yang difitnah rakan tahaluf siyasi dalam Pakatan Rakyat, Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menjual pil kuda, beberapa hari sebelum penamaan claon untuk pilihan raya umum ke-13 (PRU13).

Parti Islam itu kemudiannya menjadikan ia sebagai alasan untuk menurunkan calonnya di kerusi itu sehingga berlaku pertandingan 3 penjuru.

“Kita difitnah oleh Haji Hadi dalam pilihan raya lepas. Kita difitnah begitu dahsyat dengan dilemparkan fitnah menjual pil kuda dan terlibat dalam pengedaran pil kuda.

“Jadi, episod pahit ini menjadi fobia kepada kita, betul-betul fobia kepada kita untuk masuk pilihan raya,” kata Azan kepada FMT selepas pengumuman calon Pakatan Harapan Terengganu dan mengulas kriteria parti itu dalam pemilihan calon PRU14.

Shamsul kemudiannya menarik diri daripada PRU13 dan memfailkan saman fitnah berjumlah RM2 juta ke atas Hadi.

Dalam pernyataan tuntutannya, Shamsul mendakwa ucapan Hadi dalam ceramah di Kampung Tebakang, Alor Limbat, Marang, pada 22 April 2013, menjatuhkan maruahnya dan keluarga serta menjejaskan reputasinya sebagai calon PRU dan ahli perniagaan.

Bagaimanapun, Mahkamah Tinggi pada 15 Disember 2014 menolak saman itu dengan alasan Shamsul gagal membuktikan kata-kata Hadi sebenarnya merujuk kepadanya dan memerintahkan plaintif membayar kos RM10,000 kepada ahli Parlimen Marang itu.

Pada 7 Oktober 2015, Hadi dibebaskan daripada saman fitnah RM2 juta yang difailkan Shamsul selepas panel 3 hakim Mahkamah Persekutuan menolak permohonan Shamsul bagi kebenaran merayu di Mahkamah Persekutuan, dalam usaha membatalkan keputusan Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Tinggi.

Azan berkata, walaupun kes itu sudah lama berlaku, Hadi sepatutnya memohon maaf kepada Shamsul dan PKR kerana ia memberi kesan jangka panjang kepada parti itu.

“Saya tak memaksa, tetapi saya menyebut perkara ini kerana sudah tentu peristiwa itu berlaku semasa hampir dengan pilihan raya, saya yakin setiap kali musim pilihan raya, perkara ini akan diingati semula oleh rakyat.

“Cuma pada pandangan saya, adalah elok sebagai tokoh agama yang sudah tentu faham secara mendalam tentang hukum-hakam ini bahawa melakukan fitnah secara terbuka boleh mendatangkan mudarat besar kepada mangsa difitnah adalah tidak baik dan dosanya tidak terampun, selagi tidak dimaafkan mangsa difitnah.”

Bagaimanapun, Azan yang juga bekas adun Bandar berkata, PKR akan menjadikan peristiwa itu sebagai pengajaran dan memilih calon dengan lebih teliti, bukan sekadar tangkap muat.

“Kita tidak akan memandang ke belakang dan kita akan terus berjalan teruskan perjuangan dengan membuat kerja yang telah lama ditinggalkan oleh pemerintah.

“Kita membuat pemilihan yang begitu ketat, malah ada calon yang kita gugurkan di saat-saat akhir kerana timbul masalah hutang, bukan insolvansi atau bankrap tetapi dia berhutang.

“PKR hanya membawa calon yang bersih dan berwibawa, sebab PKR antara parti yang banyak melalui episod pahit berbanding rakan kita, PPBM dan Amanah kerana kita telah banyak kali masuk pilihan raya.”

Azan berkata, 11 calon DUN dan 2 calon Parlimen di Terengganu terdiri daripada pelbagai latar belakang.

“Ada profesional, usahawan, daripada golongan agama, malah dari segi keturunan juga kita ada macam-macam, ada keturunan Wan, Tengku, Syed, itu uniknya calon kita kali ini,” katanya sambil memaklumkan PKR turut memilih 2 calon wanita.

Terengganu mempunyai 8 Parlimen dan 32 kerusi DUN, di mana BN memenangi 17 DUN, PAS 14 dan PKR 1 pada PRU13, manakala PAS dan BN masing-masing memenangi 4 kerusi Parlimen.

Berikut senarai penuh calon PKR Terengganu:

Kerusi Parlimen

  • Dungun: Abd Rahman Yusof
  • Kemaman: Mohd Huzaifah Md Suhaimi

Kerusi DUN

  • Kota Putera: Tengku Roslan Tengku Othman @ Tengku Ramli
  • Permaisuri: Wan Mokhtar Wan Ibrahim
  • Seberang Takir: Abu Bakar Abdullah
  • Bukit Tunggal: Fatimah Lailati Omar
  • Bandar: Azan Ismail
  • Alor Limbat: Ahmad Sabri Ali @ Mamat
  • Telemong: Sharifah Norhayati Syed Omar
  • Kuala Berang: Mohd Nor Othman
  • Rantau Abang: Mohammad Padeli Jusoh
  • Chukai: Husain Safri Muhammad
  • Air Putih: Mohd Zukri Aksah

Klik sini untuk perkembangan sepanjang musim PRU14