Putrajaya selar audio palsu mengenai belanja besar untuk Rosmah

Klip audio berlegar di media sosial membuat dakwaan palsu ke atas isteri perdana menteri Rosmah Mansor, kata Putrajaya.

KUALA LUMPUR: Maklumat berbentuk audio yang tersebar dalam media sosial mengenai perbelanjaan kerajaan melibatkan isteri perdana menteri Datin Seri Rosmah Mansor adalah palsu dan berniat jahat.

Kementerian Kewangan menerusi kenyataan menjelaskan maklumat tersebut adalah palsu atau ‘fake news’ dan merupakan tuduhan tidak berasas serta berniat jahat untuk mengaitkan kementerian itu sebagai sumber rujukan.

“Kementerian Kewangan kesal dengan penyebaran maklumat yang tidak benar dan telah melaporkan kepada pihak polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia untuk tindakan selanjutnya,” menurut kenyataan itu.

Semalam, Pejabat Perdana Menteri turut menafikan sekeras-kerasnya dakwaan liar mengenai penyebaran berita palsu dan fitnah berkenaan Rosmah.

Menerusi kenyataan daripada laman Facebook pejabat Perdana Menteri, ia menyatakan dalam rakaman itu, seorang individu membuat tuduhan tidak berasas dan liar mengenai perbelanjaan kerajaan yang melibatkan Rosmah.

Individu itu mendakwa perbelanjaan amat tinggi dibuat oleh kerajaan bagi kek sambutan hari jadi isteri perdana menteri dan kos memasang 2 kamera litar tertutup (CCTV) di pejabat Rosmah di Putrajaya.

Dakwaan itu menyebut sumber berita tersebut adalah seorang rakannya yang bertugas di Kementerian Kewangan.

Ia juga mendakwa kononnya kutipan GST berjumlah RM70.1 juta sehari habis dicuri dan tidak dijumpai dalam Perbendaharaan Negara.