Raja Bahrin dakwa BN letak calon lemah untuk menangkan anak Hadi

Raja Bahrin hairan dengan langkah BN meletakkan calon kurang dikenali dan menyifatkannya pertandingan persahabatan antara BN dan PAS

KUALA TERENGGANU: Pakatan Harapan (PH) Terengganu hari ini mendakwa Barisan Nasional (BN) menurunkan calon lemah untuk memberi kemenangan mudah kepada PAS di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Burok.

Pengerusinya, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah berkata BN akan meletakkan calon yang dikenali dan setaraf, jika ia tekad merampas kerusi itu daripada PAS yang mencalonkan anak presiden PAS yang juga ketua Pemuda parti itu, Muhammad Khalil Abdul Hadi.

“Saya agak hairan juga kenapa BN meletakkan calon yang agak kurang dikenali di kalangan orang ramai kerana mereka tahu akan menghadapi pertandingan dengan anak Hadi sendiri. Saya rasa ia seolah-olah Umno mahu memberi laluan mudah.

“Kenapa tidak ada tentangan hebat untuk Umno bagi berdepan dengan anak presiden sendiri,” katanya selepas majlis pengumuman calon PH Terengganu di Kuala Terengganu, hari ini.

BN mencalonkan Zambri A Hitam untuk menentang Khalil dan Raja Bahrin di DUN Batu Burok pada 9 Mei ini.

Raja Bahrin turut menyifatkan langkah BN meletakkan calon kurang dikenali pengundi sebagai pertandingan persahabatan antara parti itu dan PAS.

“Saya rasa ramai orang anggap ia seolah-olah satu pertandingan persahabatan antara Umno dengan PAS.

“Dan saya rasa orang Umno sendiri merasa kecewa, adakah Umno ketandusan calon bagi menghadapi anak presiden PAS?” soalnya.

“Sekurang-kurangnya bagilah satu pertandingan yang agak sengit, macam kita tengok perlawanan bola yang berat sebelah.”

Pada pilihan raya umum ke-13, calon PAS, Syed Azman Syed Ahmad Nawawi menang di DUN Batu Burok dengan majoriti 2,273 undi.

Klik sini untuk perkembangan sepanjang musim PRU14