Azam PKR harapkan kemarahan terhadap calon ‘orang luar’ BN

‘Pilih Azam Muda, Biru Muda’ menjadi slogan kempen Nor Azam Karap.

ALOR SETAR: Calon anak tempatan dari PKR berharap sungutan dalam kalangan Umno Kuala Perlis terhadap calon orang luar pilihan BN akan membantunya menawan kerusi itu.

Nor Azam Karap, 33, berkata perasaan tidak puas hati boleh memberi kelebihan kepadanya. Hakikat beliau membesar di situ juga satu lagi kelebihan.

Beliau berkata penyokong pemimpin Umno, Datuk Azhar Ahmad, 60-an, memberitahu mereka mahu memulaukan pilihan raya kali ini kerana BN mengetepikan Azhar, seorang anak tempatan, untuk Datuk Azam Rashid, yang merupakan Adun Kayang dari 2004 hingga 2008.

“Mereka bukanlah mahu Umno tewas tapi beginilah cara mereka membantah, untuk menunjukkan mereka menolak Azam Rashid. Saya diberitahu oleh penyokong Azhar sendiri. Mereka beritahu semua bendera dan sepanduk BN sudah diturunkan,” katanya.

Nor Azam, yang pertama kali bertanding, berkata ahli-ahli Umno menghubungi beliau untuk mengucapkan tahniah dan berkata “saya ada kelebihan sekarang dan 90% daripada mereka akan mengundi saya”.

Semalam, kekecohan tercetus apabila BN mengumumkan calon-calon bagi Perlis di Kangar. Satu kumpulan dipercayai ahli Wanita Umno Kuala Perlis yang menyokong Azhar bersemuka dengan Pengerusi Umno Perlis Datuk Seri Shahidan Kassim selepas pengumuman.

Mereka mengancam untuk menghentikan jentera BN di kawasan itu, dan menurunkan semua bendera dan sepanduk BN sebagai tanda bantahan. Video memaparkan orang ramai menurunkan bendera BN di sebatang jalan di Kuala Perlis juga tersebar.

Kuala Perlis sebelum ini disandang Mat Hassan sejak 2 penggal lalu.

Azam berharap perasaan tidak gembira dalam kalangan akar umbi Umno akan membantu beliau menang di kerusi itu. “Lagipun, saya orang tempatan. Orang kenal saya. Mereka tolak Azam Rashid. Mereka tahu rekodnya,” katanya.

“Slogan kempen saya ialah ‘Pilih Azam Muda, Biru Muda’,” tambahnya, merujuk kepada warna biru muda bendera PKR dan biru gelap BN.

DUN Kuala Perlis sebelum ini dipegang Mat Hassan, seorang exco negeri, yang menewaskan calon PKR dan seorang calon Bebas dengan majoriti 1,384 undi pada 2013.

Kira-kira 78% daripada 10,000 pengundi berdaftar di DUN itu berketurunan Melayu.

http://www.freemalaysiatoday.com/category/videos/2018/04/27/wanita-umno-naik-angin-tak-setuju-calon-dun-k-perlis/