Calon PH Sungai Besar ibarat ‘duri dalam daging’, kata Jamal

Jamal Md Yunos lega dan bersyukur selepas Muslimin Yahya menyertai PH. (Gambar AFP)

SHAH ALAM: Ketua Umno Bahagian Sungai Besar Datuk Seri Jamal Md Yunos berterima kasih kepada Pakatan Harapan (PH) kerana mengambil Muslimin Yahya sebagai calonnya bagi kawasan Parlimen Sungai Besar pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14) ini.

Beliau menyifatkan Muslimin, yang sebelum ini merupakan ahli jawatankuasa Umno bahagian itu menyertai PKR sebagai “duri dalam daging” bagi Umno dan Barisan Nasional (BN).

“Saya akan mengadakan kenduri kesyukuran dalam jangka masa terdekat dengan ‘menumbangkan’ seekor kambing bagi meraikan pemergian Muslimin ke PH kerana ia telah membuang ‘duri dalam daging’ dalam Umno,” katanya kepada Bernama hari ini.

Jamal yang juga pengarah pilihan raya BN Parlimen Sungai Besar berkata, Umno Bahagian Sungai Besar “lega dan bersyukur” dengan pemergian “duri dalam daging” itu ke pihak pembangkang.

“Kita patut berterima kasih kepada Pakatan Harapan,” katanya secara sinis ketika ditanya tentang tindakan Muslimin menyertai PKR dan akan bertanding sebagai calon pakatan pembangkang.

PH Parlimen Sungai Besar mengumumkan Muslimin sebagai calonnya di kawasan Parlimen Sungai Besar bagi mencabar penyandang kerusi itu daripada BN Budiman Mohd Zohdi.

Umno dan BN Sungai Besar, menurut Jamal, tidak bimbang dengan pencalonan Muslimin kerana bekas guru itu tidak pernah mendapat sokongan meluas daripada ahli parti dan pernah tewas teruk dalam pemilihan di bahagian itu.

“Beliau tewas di tangan Budiman (dalam pertandingan jawatan ketua Pemuda Bahagian) dengan keputusan yang agak memalukan, kalah dengan majoriti 2/3,” katanya dan menambah, ia juga merupakan satu daripada sebab mengapa Muslimin tidak dipilih sebagai calon BN.

Malah beliau juga mendakwa Muslimin merupakan pilihan ke-4 PH bagi kawasan Parlimen itu selepas penolakan 3 calon lain berikutan kebimbangan akan “kekalahan teruk” pembangkang pada BN di kerusi itu.

Sementara itu, Setiausaha Politik Timbalan Perdana Menteri Datuk Dr Ahmad Masrizal Muhammad dalam satu kenyataan hari ini menjelaskan Muslimin sebelum ini merupakan pegawai khas beliau dan bukan pegawai khas kepada Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi seperti didakwa.

Tugasan terakhir Muslimin, katanya, adalah membantu menguruskan program santai timbalan perdana menteri bersama guru di Bagan Datuk, Perak.

Menurutnya, prinsip timbalan perdana menteri adalah jelas iaitu tidak membenarkan mana-mana pegawainya bertanding dalam pilihan raya umum ini supaya mereka dapat memainkan peranan aktif membantu kemenangan BN.

“Ketulenan perjuangan bagi individu sebegini amatlah diragui kerana dia menyertai PKR hanya selepas namanya tidak tersenarai sebagai calon BN. Ini membuktikan bahawa dia cuba mengambil jalan pintas untuk bertanding dalam PRU dengan menyertai parti lawan,” katanya.

Masrizal berharap Muslimin akan “tersedar daripada lamunan politik yang diciptakan oleh pembangkang” dan kembali ke pangkal jalan.