Jentera PKR Kuala Kangsar lumpuh

Khair membuka pejabat baru selepas pejabat PKR di Bukit Chandan ditutup apabila jentera lumpuh.

KUALA KANGSAR: Pejabat “baru” PKR Kuala Kangsar di tingkat 3 sebuah rumah kedai tidak seperti pejabat mana-mana parti politik lain kerana hanya sepi yang menanti pengunjungnya.

Dinding berwarna merah jambu tidak dihiasi bendera parti atau poster pimpinan. Satu-satunya petanda ia pejabat operasi PKR ialah seragam ketua bahagian, Mohd Khair Mohd Zainal, yang digantung pada dinding pejabat.

“Jentera PKR di Kuala Kangsar sudah lumpuh dan sekarang kita sedang bina semula jentera,” kata Khair.

Masalah bermula apabila Ketua Wanita PKR Perak Fatmawati Salim yang aktif di lapangan selama ini diberitahu dia tidak akan bertanding di DUN Bukit Chandan.

Sejak itu jentera PKR Kuala Kangsar lumpuh dan pejabat bahagian di Bukit Chandan ditutup, kata Khair.

“Jadi saya buka pejabat ini 2 minggu lalu kerana kita mesti terus bekerja. Kita perlu bekerja keras sokong Amanah yang akan bertanding di kerusi Parlimen Kuala Kangsar.”

Seragam parti satu-satuya tanda pejabat ini tempat operasi PKR.

Penyandang Parlimen Lumut, Laksamana Pertama (B) Mohamad Imran Hamid terpilih untuk mewakili PKR di Bukit Chandan manakala PPBM akan bertanding di Lumut.

Khair khuatir PKR akan kehilangan beberapa ratus undi sekiranya penyokong Fatmawati memboikot hari pengundian, tetapi beliau percaya parti mempunyai sokongan secukupnya untuk merampas kerusi itu daripada BN.

Khair juga menjernihkan penglibatannya dalam sidang media 5 pemimpin PKR yang tidak berpuas hati dengan bilangan kerusi yang diberikan kepada PPBM dan penggunaan lambang PKR oleh parti itu.

“Ketua bahagian lain yang membuat bantahan. Saya tak sepatutnya ada berada di situ pada masa itu.

“Saya tiada sebab untuk sertai sidang media itu kerana tiada sebab untuk tidak berpuas hati. Kerusi Kuala Kangsar ditandingi oleh Amanah, bukan PPBM.

“Saya tiada masalah bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad guna lambang parti. Melihat beliau, seorang pengkritik parti mengibarkan bendera kami ialah satu kemenangan buat kami kerana ia mengiktiraf PKR.”