Mahkamah tolak permohonan 16 bekas ahli bubarkan Umno

Peguam, Mohamed Haniff Khatri Abdulla berkata, BN dalam krisis jika Umno diisytiharkan pertubuhan haram oleh mahkamah kelak.

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini menolak permohonan 16 bekas ahli Umno mencabar kesahihan parti itu atas kegagalan mengadakan pemilihan sejak 2013.

Hakim, Datuk Kamaludin Md Said memutuskan Seksyen 18C Akta Pertubuhan 1966 tidak memasukkan bidang kuasa mahkamah untuk mencampur tangan hal ehwal parti politik.

Beliau membenarkan bantahan awal Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM) untuk menolak permohonan kebenaran 16 bekas ahli Umno itu.

Kamaludin berkata, beliau mempertimbangkan 2 keputusan Mahkamah Persekutuan baru-baru ini berdasarkan kes Indira Gandhi v Pengarah Jabatan Agama Islam (2018) dan Semenyih Jaya Sdn Bhd v Pentadbir Tanah Daerah Hulu Langat (2017), bergantung kepada peguam Mohamed Haniff Khatri Abdulla, yang mewakili kumpulan 16 bekas ahli Umno itu.

“Pada pandangan saya, kes itu berbeza daripada permohonan ini,” katanya.

Kamaludin berkata, keputusan itu secara umumnya mengingatkan pihak berkepentingan yang kuasa kehakiman hanya terletak kepada mahkamah, dilindungi peruntukan dalam Perlembagaan bagi memastikan kebebasan kehakiman dan pengasingan kuasa.

Katanya, kes itu tiada kaitan dengan dengan keputusan sebuah parti politik dalam hal berkaitan hal ehwal Umno di bawah Seksyen 18C.

“Saya tidak boleh mengabaikan keputusan Mahkamah Persekutuan dalam kes Pendaftar Pertubuhan v Datuk Justin Jinggui (2013) yang jelas mengecualikan mahkamah daripada melihat merit sebarang pertikaian ahli sesebuah parti politik,” katanya.

Umno memecat ketua Umno cawangan Seri Merpati Pandan Indah, Salihudin Ahmad Khalid dan 15 ahli dari 5 negeri itu, sehari selepas mereka memfailkan permohonan semakan kehakiman terhadap parti atas alasan penangguhan pemilihan parti sehingga tahun depan melanggar perlembagaan Umno, pada 20 April lalu.

Mereka berkata, perlembagaan Umno menyatakan pemilihan parti perlu diadakan setiap 3 tahun dan pucuk pimpinan hanya boleh menangguhkannya selama 18 bulan. Bagaimanapun, JPPM membenarkan Umno menangguhkan pemilihan parti sehingga tahun depan.

Mereka mendakwa penangguhan pemilihan itu turut menafikan hak mereka untuk memilih pemimpin dan memohon mahkamah memerintahkan JPPM menyiasat Umno atas dakwaan melanggar perlembagaan sendiri dan satu lagi perintah untuk menggantung operasi parti sementara menunggu kes itu selesai.

Mereka turut memohon mahkamah memerintahkan Umno dibubarkan mulai 20 April lalu kerana mendakwa parti itu kini “haram”.

Mereka menamakan Setiausaha Kerja Umno, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh dan JPPM sebagai responden.

Sementara itu, Haniff memberitahu pemberita, beliau menerima arahan anak guamnya untuk memfailkan rayuan.

Katanya, satu lagi permohonan kebenaran untuk memulakan prosiding terhadap Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor atas pengumuman 16 individu itu dipecat, tidak akan didengar pada 16 Mei nanti susulan keputusan hari ini.

Haniff menyuarakan kekecewaan terhadap keputusan itu dengan berkata, Kamaludin gagal menghargai prinsip undang-undang dalam kes Indira Gandhi dan Semenyih Jaya.

“Hakim nampaknya mengabaikan duluan mengikat oleh keputusan mahkamah lebih tinggi baru-baru ini.”

Haniff berkata, keputusan hari ini juga menamatkan peluang bekas ahli Umno itu mendapat remedi undang-undang terhadap pihak yang mengendalikan parti politik.

Katanya, pemilihan calon Barisan Nasional (BN) boleh dipertikaikan jika keputusan hari ini ditolak kemudian.

“BN akan berada dalam krisis jika Umno, yang merupakan parti komponen gabungan pemerintah itu, diisytiharkan pertubuhan haram nanti,” katanya.

 

16 ahli Umno mohon mahkamah bubar parti