Pemimpin Korea Utara, Selatan mula rundingan bersejarah di sempadan

Presiden Korea Selatan, Moon Jae In menyapa pemimpin Korea Utara, Kim Jong Un di garisan penampan tentera, di Panmunjom pada pagi tadi. (Gambar Reuters)

SEOUL: Tersenyum dan berjabat tangan, pemimpin Korea Utara, Kim Jong Un dan Presiden Korea Selatan, Moon Jae In, hari ini bertemu di zon penampan tentera (DMZ) yang dikawal ketat di sempadan kedua-dua negara itu untuk menghadiri sidang puncak pertama dalam tempoh lebih sedekad.

Pertemuan itu bertujuan menamatkan konflik selama berdekad dan meredakan ketegangan berhubung program senjata nuklear Korea Utara, beberapa minggu sebelum Kim dijadualkan menemui Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump.

Kim dan Trump dijangka bertemu akhir Mei atau Jun ini, dan Trump berkata beliau masih mempertimbangkan tarikh dan tempat pertemuan itu.

Moon menyapa Kim di garisan penampan tentera pada jam 9.30 pagi (0030GMT), menjadikan Kim pemimpin Korea Utara pertama menjejakkan kaki ke Korea Selatan, sejak Perang Korea 1950 hingga 1953.

Kim juga secara spontan mempelawa Moon menyeberangi sempadan ke Korea Utara, sebelum mereka kembali ke Korea Selatan dengan memegang tangan.

Mereka dihadiahkan jambangan bunga oleh 2 kanak-kanak Korea Selatan dari sebuah kampung di DMZ dan memeriksa perbarisan kehormat tentera Korea Selatan secara bersama.

Kim turut menandatangani log pelawat di Rumah Perdamaian, venue sidang kemuncak ke-3 dalam sejarah, tetapi julung kali diadakan di Korea Selatan.

Kedua-dua pemimpin itu kemudiannya mengadakan rundingan tertutup.

“Sejarah baru bermula sekarang. Zaman keamanan dari titik permulaan sejarah,” tulis Kim dalam bahasa Korea berserta tarikh dan tanda tangannya di log pelawat itu.

Moon dan Kim dijangka membincangkan langkah menamatkan program nuklear, meredakan ketegangan antara 2 negara itu, selain menanam pokok peringatan di kampung perdamaian di Panmunjom.

AS dalam satu kenyataan berharap rundingan itu akan mencapai kemajuan dalam perdamaian dan kemakmuran.

Rumah Putih turut berharap dapat meneruskan perbincangan dengan Korea Selatan sebagai persiapan untuk pertemuan antara Trump dengan Kim dalam beberapa minggu lagi.

Beberapa bulan lalu, Trump dan Kim saling menyerang dan mencela satu sama lain susulan kemajuan pesat Pyongyang dalam meneruskan peluru berpandu nuklearnya untuk menyerang AS dan menimbulkan kebimbangan konflik baru tercetus di Semenanjung Korea.

Hari ini, agensi berita rasmi Korea Utara, KCNA melaporkan Kim akan “berbincang dengan Moon Jae In secara terbuka dalam semua isu untuk memperbaiki hubungan 2 negara itu dan mencapai keamanan, kemakmuran dan penyatuan di Semenanjung Korea.”

Beberapa hari sebelum sidang kemuncak diadakan, Kim berkata, Korea Utara akan menangguhkan ujian nuklear dan peluru berpandu jarak jauhnya dan menutup satu-satunya tapak ujian nuklear negara itu yang diketahui.

Dua negara berjiran itu dijangka mengeluarkan kenyataan bersama hari ini, yang dijangka dinamakan Perisytiharan Panmunjom, bagi menangani isu menamatkan program nuklear dan perdamaian, selain memulihkan hubungan, kata pegawai Korea Selatan.