Penuntut UPNM dibawa ke rumah sewa rakan suspek sehari sebelum maut

Zulfarhan Osman Zulkarnain hanya berbaring dan tidur semasa berada di rumah saksi ke-11.

KUALA LUMPUR: Seorang saksi memberitahu Mahkamah Tinggi bahawa tertuduh pertama dan ke-2 dalam kes pembunuhan membawa Zulfarhan Osman Zulkarnain ke rumah sewanya (saksi) di Bangi, pada 31 Mei 2017, sehari sebelum mangsa meninggal dunia.

Muhammad Nazrin Mohd Radzuan, 21, pelajar Universiti Tenaga Nasional (Uniten) berkata Zulfarhan Osman yang tidak pernah dikenalinya sebelum ini datang ke rumahnya di Apartment De Centrum pukul 12 tengah malam, dibawa oleh rakan lamanya, Muhammad Akmal Zuhairi Azmal yang merupakan tertuduh pertama dan seorang lagi iaitu Muhammad Azamuddin Mad Sofi, tertuduh ke-2.

Saksi pendakwaan ke-11 itu berkata ketika itu beliau baru sahaja pulang daripada bermain futsal dan sebaik tiba di rumah, beliau melihat Muhammad Akmal Zuhairi yang dikenalinya sejak di sekolah menengah berada di ruang tamu rumahnya bersama 2 lagi lelaki tersebut.

“Saya salam Zuhairi, saya tanya kenapa (merujuk kepada Zulfarhan Osman) dan Zuhairi jawab ‘accident’,” katanya yang melihat Zulfarhan Osman yang memakai baju batik dan kain pelikat terbaring di atas tilam dan terdapat kecederaan di tangan mangsa.

Beliau berkata demikian ketika pemeriksaan utama Timbalan Pendakwa Raya Othman Abdullah pada perbicaraan kes itu yang masuk hari ke-15.

Saksi itu berkata dia kemudian berborak dengan Muhammad Akmal Zuhairi dan turut berkenalan dengan kedua-dua individu itu serta diberitahu Muhammad Akmal Zuhairi bahawa mereka akan membawa Zulfarhan Osman mendapatkan rawatan di sebuah klinik juga di Bangi, keesokan harinya.

Kepada soalan Othman bagaimanakah keadaan Zulfarhan Osman sepanjang berada di rumah itu, saksi itu berkata mangsa banyak menghabiskan masa dengan berbaring dan tidur.

Katanya beliau juga tidak banyak bercakap dengan Zulfarhan Osman serta tidak mengetahui lanjut tentang mangsa kecuali nama dan jurusan yang dipelajarinya.

Menceritakan lanjut, saksi itu berkata, keesokan harinya pada 1 Jun 2017, ketika beliau sedang berehat di dalam bilik selepas berbuka puasa, Muhammad Azamuddin mengetuk pintu biliknya dan memintanya keluar dari bilik untuk melihat Zulfarhan Osman yang kaku dan tidak bergerak.

“Zuhairi tanya saya boleh buat CPR (Cardio Pulmonary Resuscitation) tak. Saya kata saya tak tahu dan dia terus menghubungi ambulans,” katanya.

Enam penuntut UPNM iaitu Muhammad Akmal Zuhairi, Muhammad Azamuddin, Muhammad Najib Mohd Razi, Muhammad Afif Najmudin Azahat, Mohamad Shobirin Sabri dan Abdoul Hakeem Mohd Ali mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan membunuh dan bersubahat membunuh Zulfarhan Osman di bilik 04-10, blok penginapan asrama Jebat, UPNM, antara pukul 4.45 pagi dan pukul 5.45 pagi, 22 Mei 2017.

Pertuduhan terhadap mereka yang semua berusia 22 tahun itu dikemukakan mengikut Seksyen 302 dan 109 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Mereka bersama 13 lagi penuntut lain turut didakwa atas pertuduhan dengan sengaja menyebabkan cedera terhadap mangsa bagi maksud hendak memerasnya untuk mendapatkan pengakuan mencuri komputer riba mengikut Seksyen 330 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 7 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Azman Abdullah bersambung 14 Mei.

Doktor tak pasti jika penuntut UPNM ada alahan ubat