Pesara tentera berjalan 300km untuk PH tiba di Gombak

Bekas tentera, Nasri Mat Jusoh mula berjalan dari Kuantan Selasa lalu dan tiba di Gombak, hari ini.

GOMBAK: Pesara tentera, Nasri Mat Jusoh yang berjalan kaki sejauh 300km dari Kuantan ke Putrajaya untuk menyokong Pakatan Harapan (PH), tiba di Gombak pada 5.30 petang tadi.

Dengan berbekalkan satu bendera PKR dan sebuah beg bekalan, Nasri memulakan misinya dari perhentian teksi dekat sebuah restoran bernama Nasi Ayam Aida di Kuantan pada 8.30 pagi Selasa lalu.

Beliau berbuat demikian untuk membantah kenaikan kos sara hidup.

Nasri berkata, perjalanannya lancar walaupun cuara sangat panas.

“Saya jalan bersendirian. Beberapa orang mengenali saya dan menawarkan diri untuk berjalan dengan saya.

“Ia memberi semangat kepada saya kerana tahu ada orang di luar sana yang menyokong saya dan matlamat saya.

“Saya kekal berhubung dengan keluarga saya dan memberitahu perkembangan terbaru melalui telefon.”

Keluarganya juga sampai di Gombak dari Kuantan dan mereka akan bermalam di rumah seorang rakan.

Nasri berkata, beliau akan menamatkan perjalanannya di Putrajaya kira-kira 5.30 petang esok.

Ditanya perhentian terakhirnya, beliau berkata: “Pintu masuk Putrajaya.

“Di situlah saya akan berhenti. Ini bermakna saya sudah mencapai sasaran saya dan ia simbolik untuk menunjukkan PH boleh menawan Putrajaya pada pilihan raya umum akan datang.”

Allah ada, pesara beritahu isteri sebelum berjalan 300km ke Putrajaya