PKR terpaksa cari calon baru Port Dickson

SEREMBAN: Tinggal beberapa jam sebelum penamaan calon pilihan raya umum ke-14 (PRU14) bermula, PKR terpaksa mencari calon baru untuk Parlimen Port Dickson.

Ini kerana calon yang diumumkan sebelum ini, Rosman Jonet, tidak menghantar laporan kewangannya kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) semasa beliau bertanding DUN Linggi pada PRU13.

“Sebenarnya ada masalah teknikal. Dia (Rosman) tak hantar laporan kewangan pilihan raya lepas. Automatik dia tak ada. Jadi kita terpaksa cari calon baru,” kata Pengerusi PKR Negeri Sembilan Aminuddin Harun.

Pada 24 April lalu, PKR menggugurkan Datuk Kamarul Baharin Abbas daripada Parlimen Teluk Kemang yang kini dikenali sebagai Port Dickson dan menggantikannya dengan Rosman Jonet yang tewas di DUN Linggi pada 2013.

Rosman akan menentang calon PAS, Mahfuz Roslan dan calon Barisan Nasional (BN), Datuk VS Mogan yang tewas kepada Kamarul pada 2013. Mogan adalah bekas exco Negeri Sembilan. Kamarul berjaya mempertahankan kerusi dengan kelebihan 1,185 undi.

Mengulas lanjut, Aminuddin berkata, apa yang diketahuinya PKR pusat sudah mempunyai pengganti Rosman.

“Seorang ‘Datuk’, bekas tentera. Nama saya tak ingat,” katanya.

 

PKR gugur penyandang Teluk Kemang selama 2 penggal