Salleh: Puad letak jawatan tidak jejas JASA

Datuk Seri Salleh Said Keruak berkata beliau sudah bertemu pegawai kanan JASA di peringkat pusat dan negeri dan beri jaminan peletakan jawatan Puad tidak jejaskan JASA sebagai organisasi kerajaan. (Gambar Facebook)

PUTRAJAYA: Peletakan jawatan Datuk Mohd Puad Zarkashi sebagai Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) tidak menjejaskan pendirian dan fungsi jabatan itu sebagai organisasi kerajaan.

Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Salleh Said Keruak berkata pegawai-pegawai JASA seluruh negara akan terus melaksanakan tugas seperti diamanahkan.

“Saya sudah bertemu pegawai-pegawai kanan JASA di peringkat pusat dan negeri-negeri, dan mereka memberi jaminan peletakan jawatan Puad tidak menjejaskan pendirian dan fungsi JASA sebagai organisasi kerajaan,” katanya dalam kenyataan kepada Bernama.

Sehubungan itu, katanya tidak timbul soal jentera JASA akan terjejas seperti yang didakwa oleh pihak-pihak tidak bertanggungjawab.

Mohd Puad pada Rabu lepas, dalam laman Facebook miliknya mengesahkan peletakan jawatannya sebagai Ketua Pengarah Jasa, rentetan tidak disenaraikan sebagai calon Barisan Nasional (BN) di Johor pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

Puad berkhidmat selama 3 tahun sebagai Ketua Pengarah JASA.

Salleh juga berkata beliau dimaklumkan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) Tan Sri Dr Sharifah Zarah Syed Ahmad mengenai surat peletakan jawatan Puad yang berkuat kuasa pada 26 April 2018.

“Bagi pihak diri saya serta warga KKMM, kami mengucapkan terima kasih dan penghargaan atas segala sumbangan dan jasa beliau sepanjang perkhidmatan beliau sebagai ketua pengarah JASA,” katanya.