Saya boleh hadap kritikan Puad, kata Khaled

JOHOR BAHRU: Ketua Umno Johor Datuk Seri Mohd Khaled Nordin bersedia menerima kritikan daripada Ketua Umno Batu Pahat Datuk Mohd Puad Zarkashi kerana tidak terpilih untuk bertanding pada pilihan raya akan datang.

“Tidak mengapa. Biarkan dia kritik sebanyak mana pun yang dia mahu,” katanya, dan menambah dia sedia menghadap semua kritikan demi Umno.

“Jangan salahkan presiden parti dan timbalan. Tumpuan utama kita sepatutnya pilihan raya,” katanya hari ini.

Khaled diminta mengulas kenyataan Puad di Facebook, mengkritik pemangku timbalan presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi kerana mengatakan Puad digugurkan kerana kemerosotan sokongan kepada Barisan Nasional (BN) di Batu Pahat.

Puad juga menuduh Khaled memilih calon dari kumpulan sendiri.

Ditanya sama ada parti akan merujuk Puad ke lembaga tatatertib kerana kenyataannya, Khaled berkata beliau tidak boleh menjawab soalan itu.

Puad tidak terpilih untuk kerusi Parlimen Batu Pahat. Dia merupakan Ahli Parlimen kawasan itu dari 2003 hingga 2013 tetapi tewas kepada calon PKR pada pilihan raya umum ke-13.

Ketua Wanita Umno Batu Pahat Haliza Abdullah terpilih untuk menentang calon PKR, Rashid Hasnon.

Puad kemudiannya meletakkan jawatan sebagai ketua pengarah Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA), sebuah unit propaganda kerajaan.