Ustaz ‘muda’ rampas PAS versi sederhana, kata Khalid Samad

Kiriman gambar Ahmad Dusuki Abdul Rani menerima banyak kritikan daripada pengguna media sosial.

PETALING JAYA: Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad menyalahkan kemunculan “ustaz muda” yang mula memainkan peranan penting dalam parti Islamis itu sejak 2010, atas wujudnya kembali Islam versi lebih sempit dalam PAS sekarang.

Beliau berkata demikian berikutan kiriman Instagram calon PAS bagi kerusi negeri Kota Anggerik, Ahmad Dusuki Abdul Rani, Jumaat lalu.

Dalam kiriman gambar itu yang menunjukkan Dusuki dengan tulisan “Kota Anggerik”, diletakkan keterangan berbunyi, “Andai ditanya di dalam kubur, apakah agama kamu? Mampukah kita menjawab Islam sedangkan kita melawan Islam ketika hayat di dunia? Sedangkan kita mengambil Islam hanya sebahagian dari keseluruhan kehidupan kita?”

Kiriman itu menerima kritikan pengguna Instagram kerana memberi tanggapan mereka yang tidak mengundi PAS pada 9 Mei tidak boleh digelar orang Islam.

“Ini yang mereka mahu sampaikan dan sebab itulah PAS berbahaya. Mereka percaya hanya mereka yang Islamik dan orang lain semuanya salah dan musuh Islam,” kata Khalid kepada FMT.

Beliau berkata, dahulu PAS memang bersikap tidak bertoleransi seperti didakwa ramai hari ini kerana persaingan yang wujud antara PAS dan Umno pada masa itu.

“Sebelum 1980-an ada kecenderungan sama ke arah aliran lebih keras ini berikutan perselisihan antara PAS dan Umno yang sangat kuat.

“Umno sangat komited terhadap sekularisme dan akan membuat banyak kenyataan melampau tentang ajaran Islam dan undang-undang Islam. Ini malangnya membawa kepada budaya ‘kafir-mengkafir’ yang menjadi tonggak politik PAS ketika itu.”

Bagaimanapun, Khalid berkata, PAS tidak selalunya begitu dan ada masanya parti itu bergerak ke arah yang lebih sederhana.

“PAS mula beralih menjadi lebih sederhana sejak 1983 di bawah arwah Yusof Rawa dan Ustaz Fadhil Noor. Ketika itulah saya sertai PAS.

“Prinsip panduannya ialah frasa Arab, ‘duaat la khuda’ bermaksud ‘pendakwah’ dan bukan kadi atau hakim. Ini bermaksud kita harus menyebarkan apa yang kita rasa betul dan tidak menghukum.

“Walaupun kami memperjuangkan politik Islam, kita tidak menuduh orang lain sebagai anti Islam atau sesat.”

Beliau mendakwa keadaan itu berubah sejak baru-baru ini dan PAS kembali kepada kepercayaan hanya Islam versi mereka yang benar selepas guru-guru agama muda “merampas” parti itu.

“Pada 1983, kumpulan pemimpin baru berjaya mengubah haluan PAS daripada budaya asalnya, tetapi sejak 2010, ia mula kembali mendapat semula pengaruh akibat kemunculan kumpulan ustaz muda itu.

“Mereka pulang dari Timur Tengah dan senang naik ke peringkat pimpinan atasan dengan mendakwa mereka lebih Islam berbanding orang lain. Ini membawa perubahan dalam pimpinan PAS dan pengasingannya daripada parti pembangkang lain.”

Khalid bagaimanapun percaya kiriman media sosial seperti dimuat naik oleh Dusuki tu tidak akan mempengaruhi undian orang Islam di Shah Alam, walaupun mengakui akan ada golongan yang terpengaruh.

“Akan ada mereka yang terperdaya tetapi saya percaya majoriti orang Islam di Shah Alam tidak ekstrem dalam pemahaman mereka berkenaan Islam dan akan menolak pandangan sebegitu.”

Khalid berkata orang Melayu di Shah Alam yang diwakilinya selama 2 penggal berbeza dengan mereka di kampung seperti yang pernah beliau temui semasa berkempen di Kelanntan, Perlis dan Johor.

“Walaupun mereka kekalkan sedikit-sebanyak cara hidup kampung, umumnya orang Melayu di sini lebih berpendidikan dan lebih bermaklumat.

“Ramai pesara kakitangan yang tinggal di Shah Alam dan mereka jauh berbeza dengan orang Melayu di kampung.”

Pada 1986, Khalid bertanding di kerusi Kuala Krai di Kelantan, pada 1990 beliau bertanding di Arau, Perlis dan pada 1999 beliau bertanding dii Sri Gading, Johor.

Beliau memenangi pilihan raya pertamanya pada cubaan kedua di Shah Alam pada 2008. Pilihan raya 9 Mei nanti akan menjadi kali ke-4 beliau bertanding di kerusi Parlimen.

Klik sini untuk perkembangan sepanjang musim PRU14