3 calon PH gagal bertanding kerana didakwa muflis

Yaakob Osman (kiri), Hafidz Rizal (tengah) dan Pizi Jihat (kanan) tak layak bertanding.

PETALING JAYA: Ketua PPBM Nibong Tebal, Yaakob Osman ditolak pencalonan untuk DUN Penaga di Pulau Pinang kerana didakwa muflis.

Calon Pakatan Harapan itu berkata, beliau sudah memeriksa status muflis 2 kali dan didapati tiada masalah.

“Saya akan berunding dengan peguam untuk tindakan lanjut,” katanya ketika ditemui di Kepala Batas.

Berikutan itu, DUN Penaga bakal menyaksikan perlawanan antara penyandang, Mohd Zain Ahmad dari BN dengan Yusni Mat Piah mewakili PAS. Kerusi ini terletak bawah Parlimen Kepala Batas, yang dipertahankan pemimpin BN, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican.

Seorang lagi calon, Dr Mohd Hafidz Rizal dari PKR, yang dicalonkan untuk DUN Kuala Balah di Kelantan turut ditolak pencalonan atas sebab sama.

Berikutan itu, DUN Kuala Balah hanya akan menyaksikan pertandingan 1 lawan 1 antara Datuk Abdul Aziz Derashid (BN) dan Mohd Apandi Mohamad (PAS). Kerusi ini terletak bawah Parlimen Jeli, yang dipertahankan pemimpin BN, Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Keadaan yang sama juga berlaku di Johor, apabila calon PH, Pizi Jihat ditolak pencalonannya untuk DUN Bukit Pasir.

Berikutan itu, PPBM tidak akan dapat mempertahankan kerusi yang disandang Setiausaha Agung Datuk Shahruddin Md Salleh.

Ia hanya akan menyaksikan pertandingan 1 lawan 1 antara Noriah Mahat (BN) dan Najib Lep (PAS). Kerusi ini terletak bawah Parlimen Pagoh, yang dipertahankan Presiden PPBM, Tan Sri Muhyiddin Yassin.