Ahmad Razif: Calon pun tak bersedia, macam mana PH nak tadbir?

KUALA NERUS: Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Razif berkata Pakatan Harapan (PH) seakan-akan tidak bersedia untuk bertanding pada pilihan raya kali ini, susulan beberapa calon pembangkang yang diisytihar tidak layak menjadi calon.

“Kita tengoklah persiapan mereka untuk penamaan calon, sedih juga. Ada juga calon PH yang tak boleh bertanding dan terpaksa memberi kemenangan percuma.

“Maknanya mereka ini tak bersedia. Dah tahu orang itu bankrap apanya yang nak bertanding, kalau dah buat persediaan, perkara sebegitu tidak akan berlaku.

“Itu pun tak bersedia macam mana nak mentadbir negeri dan negara?” katanya di Seberang Takir.

Menurutnya, PH perlu peka dengan syarat yang ditetapkan SPR.

Hari ini, SPR membatalkan pencalonan 6 wakil PH selepas selesai proses penamaan calon di seluruh negara.

Antara mereka adalah Naib Presiden PKR Tian Chua yang diisytiharkan hilang kelayakannya di Batu kerana disabit di mahkamah.

Sementara itu, beberapa calon kerusi negeri – Pizi Jihat (Bukit Pasir), Yaakob Osman (Dun Penaga) dan Mohd Hafidz Rizal Amran (Kuala Balah) gagal menjadi calon atas status muflis mereka.

Bagi Mohd Azihan Che Seman yang memohon menjadi calon Tawang, beliau hilang kelayakan kerana alamat di kad pengenalannya tidak tertera di Kelantan.

Manakala calon negeri di Rantau, Dr S Streram dari PKR, dihalang masuk ke pusat penamaan calon kerana tidak membawa pas SPR.

Razif berkata, ia menunjukkan BN lebih bersedia berbanding PH.

“Akhirnya nanti, dia akan menyalahkan kerajaan BN, akan menyalahkan Datuk Seri Najib Razak. Salah mereka sendiri tak nampak.

“Mereka emosi dan mewujudkan satu emosi kerana mereka tak boleh melawan kerajaan BN yang kukuh dan kuat dengan fakta,” katanya.

Razif yakin BN sekali lagi akan diberi mandat memimpin kerajaan negeri dan Malaysia.