Dilarang masuk pusat penamaan, calon PH akan buat laporan polis

Streram Sinnasamy yang sepatutnya bertanding di DUN Rantau mahu mengambil tindakan undang-undang bagi membatalkan kemenangan Mohamad Hassan.

REMBAU: Calon Pakatan Harapan (PH) yang sepatutnya menentang Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Mohamad Hassan di DUN Rantau akan membuat laporan polis selepas tidak dibenarkan masuk ke pusat penamaan calon Rembau kerana tidak mempamerkan pas calon.

Dr Streram Sinnasamy akan membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Rembau hari ini.

“Saya dengar di Tampin dan juga tempat-tempat lain mereka tak ada pas tapi dengan kad pengenalan mereka boleh masuk penamaan calon.

“Saya hairan macam mana ini boleh berlaku. Walaupun orang dalam dah bincang pegawai SPR tidak beri kebenaran untuk saya masuk,” katanya kepada pemberita di luar Dewan Seri Rembau hari ini.

SPR mengumumkan Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Mohamad Hasan menang tanpa bertanding kerana Dr Streram gagal mempamerkan pas calon yang dikeluarkan SPR menyebabkan beliau tidak boleh memasuki pusat penamaan.

Dr Streram berkata pihaknya juga akan mengambil tindakan undang-undang bagi membatalkan kemenangan Mohamad, calon yang sangat popular di Negeri Sembilan.

“Saya nak buat laporan polis lepas itu saya nak ambil tindakan undang-undang,” katanya.