Mengapa PAS nampak kemenangan di Taiping

Pemimpin PAS tempatan Fakhrudin Abdul Aziz merasakan calon mereka, Ibrahim Ismail, mendapat kelebihan daripada pecahan undi.

TAIPING: Apabila penganalisis politik meramalkan kekalahan PAS dalam pertandingan 3 penjuru di Taiping, yang majoriti pengundi berketurunan Cina, parti Islam sebaliknya nampak peluang kemenangan.

Mohamad Fakhruddin Abdul Aziz, timbalan ketua bahagian PAS berkata partinya ada kelebihan kerana komposisi kaum kawasan itu dan pilihan calon Barisan Nasional dan Pakatan Harapan.

Peratusan pengundi Melayu dan Cina di Taiping hampir sama dengan hanya perbezaan sebanyak 8% antara mereka. Pengundi Melayu dianggarkan 38%, pengundi Cina 46% manakala selebihnya India dan lain-lain.

Fakhrudin berkata PAS mengetengahkan Ibrahim Ismail di Taiping, dan berharap pencalonan seorang Melayu akan menarik undi Melayu daripada PH dan BN, yang meletakkan calon Cina.

“Kami juga menjangkakan pengundi Cina akan terbahagi antara PH dan BN. Jadi kami percaya ada peluang untuk menang, kalau tidak ada kami tidak akan bertanding.”

Satu lagi cabaran di Kamunting ialah jumlah pengundi pos yang besar. “Terdapat 3,900 pengundi pos di Kamunting, dan secara tradisinya, undi mereka pergi ke BN.”

Calon parti itu di Taiping, Ibrahim, 53, bekerja di sebuah syarikat pelancongan. Berasal dari Bagan Serai, beliau membesar di Taiping. Dia sudah berkahwin dan mempunyai 8 anak.

Fakhrudin juga akan bertanding di DUN Kamunting buat kali kedua. Ia satu-satunya kerusi majoriti Melayu di Parlimen Taiping, dan sebahagian besar masyarakat Melayu Taiping menetap di situ.

PAS tidak meletakkan calon di 2 lagi kerusi DUN, iaitu Aulong dan Pokok Assam, yang sebahagian besar pengundinya berketurunan Cina.

Pada 2013, Fakhrudin hampir menewaskan calon BN, Mohammad Zahir Abdul Khalid, dengan perbezaan 887 undi sahaja.

PAS ketika itu bersama-sama DAP dan PKR dalam gabungan Pakatan Rakyat.

Fakhrudin berkata pertandingan di Taiping sangat penting buat PAS, sebagai platform untuk berkongsi perjuangannya dengan pengundi di luar Kamunting.

“Ia memberi peluang kepada kami untuk beritahu kejayaan mentadbir Kelantan dan menyahkan sebarang perkara tidak benar yang dilemparkan terhadap parti.”

Fakhrudin maklum PAS kehilangan sokongan pengundi Cina di kawasan itu selepas perpecahan Pakatan Rakyat tetapi cuba mendapatkan semula sokongan masyarakat itu.

“Kami menterjemah manifesto kami ke Bahasa Cina dan Tamil, dan kami pergi bertemu masyarakat bukan Islam, ada yang sudi mendengar dan yang lain merasakan mereka sudah tersalah faham mengenai PAS.”

Fakhrudin berkata kebimbangan terbesar rakyat ialah kos sara hidup dan kemorosotan mutu kehidupan.

“Ramai di sini menghargai BR1M kerana mereka susah. Di sinilah kejayaan BN iaitu menarik sokongan pengundi yang lebih miskin.

“Apa yang kami lakukan ialah menjelaskan kepada mereka bahawa dasar BN seperti GST menyebabkan kenaikan harga dan BR1M tidak banyak membantu dalam jangka masa panjang.”

PAS berhasrat untuk memansuhkan cukai itu, memastikan program kebajikan sampai kepada golongan paling memerlukan, dan mencipta lebih banyak peluang pekerjaan.