Muhyiddin, Shafie boleh kembali kepada Umno jika bertaubat

KUALA LUMPUR: Ahli Majlis Tertinggi Umno Datuk Seri Nazri Aziz berkata, parti akan mengalu-alukan kembali bekas ahli yang kini berusaha menjatuhkan Umno jika mereka bertaubat.

Ini termasuklah Presiden PPBM Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Presiden Parti Warisan Sabah Datuk Seri Shafie Apdal.

Muhyiddin merupakan timbalan presiden Umno dan Shafie naib presiden ketika dipecat daripada parti dan kabinet pada 2015 kerana mengkritik Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan mengaitkan beliau dengan skandal 1MDB.

“Umno ada tradisi menerima semula bekas ahlinya,” kata Nazri. “Umno bukan milik Nazri. Ia bukan milik Najib, tetapi milik orang Melayu dan Bumiputera. Jadi siapakah saya untuk kata mereka tak boleh kembali?”

Beliau mengingatkan pada tahun lepas bekas menteri besar Selangor, Tan Sri Muhammad Muhammad Taib meyertai semula Umno selepas meninggalkan PKR.

“Beliau menggelar Najib dengan pelbagai gelaran seperti perompak, penipu dan sebagainya tetapi beliau diterima balik” katanya.

“Sebelum itu, kita terima semula Tengku Razaleigh Hamzah dan Tan Sri Rais Yatim yang menubuhkan Semangat 46.

“Ia bukan isu. Jika mereka bertaubat atas kesilapan dilakukan terhadap parti, mereka sentiasa dialu-alukan semula,” katanya.