Najib serah borang pertahan Pekan, hadapi PAS, PH

Gambar Twitter

PEKAN: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menyerahkan borang pencalonan mempertahankan kerusi Parlimen Pekan pada pilihan raya umum ke-14 di Dewan Konvensyen Sultan Haji Ahmad Shah sebentar tadi.

Najib, yang berbaju Melayu biru tua diiringi isteri, Datin Seri Rosmah Mansor, tiba di bangunan Umno Pekan pada 8.35 pagi, berarak bersama-sama penyokon selama 5 minit menuju pusat penamaan calon yang terletak kira-kira 300 meter dari bangunan tersebut.

Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu diiringi 4 calon BN bagi kerusi Dewan Undangan Negeri, iaitu Khairuddin Mahmud (Pulau Manis), Datuk Sh Mohmed Puzi Sh Ali (Peramu Jaya), Mohd Fakhruddin Mohd Ariff (Bebar) dan Datuk Abu Bakar Harun (Chini).

Najib, yang menyandang kerusi Parlimen Pekan sejak 1976, dilihat tersenyum dan melambai kepada penyokong BN yang bersemangat mengibarkan bendera BN bersama pelbagai sepanduk sambil melaungkan ‘Hidup BN’ di sepanjang laluan menuju ke dewan konvensyen.

Pada PRU13, Najib menang dengan majoriti 35,613 undi dalam pertembungan 1 lawan 1 dengan calon PKR Mohd Fariz Abd Talib.

Kali ini, beliau dijangka berdepan saingan 3 penjuru melibatkan calon Pakatan Harapan dan PAS.