Nazri kepada orang Cina: Mengapa menentang bila kita hidup bersama

Sertai kami, kita bersama boleh tadbir negara ini, kata Nazri Aziz.

KUALA KANGSAR: Ahli Majlis Tertinggi Umno Datuk Seri Nazri Aziz menggesa masyarakat Cina meninggalkan DAP dan menyokong Barisan Nasional (BN) supaya mereka tidak dipinggirkan.

Nazri berkata: “Kami mahu masyarakat Cina menjadi sebahagian daripada kerajaan supaya bersama kita boleh tentukan apa yang terbaik untuk negara kita, untuk Malaysia, bukan untuk sebuah negara Melayu.”

Selagi masyarakat Cina berada di luar kerajaan, “mereka tidak akan mampu membina negara mereka. Saya tak faham mengapa masyarkat Cina mesti menentang.”

Nazri, yang mahu dipilih semula sebagai Ahli Parlimen Padang Rengas berkata, masyarakat Cina mesti sedar mereka komponen masyarakat Malaysia yang penting dan “jika anda kata anda sebahagian daripada masyarakat Malaysia, anda mestilah berkelakuan sepertinya, dengan bersama kerajaan.”

Beliau menggesa mereka supaya “melupakan DAP, sertai BN, jadilah sebahagian daripada kami supaya kita bersama boleh mentadbir negara.”

Pengundi Cina memberi sokongan yang kuat kepada DAP pada pilihan raya umum 2008 dan 2013, hampir menyapu bersih MCA dan Gerakan. DAP diangkat menjadi kerajaan di Pulau Pinang, dan rakan utama dalam kerajaan Selangor.

Nazri mengingatkan pengundi Cina bahawa pembangkang memberitahu mereka mampu mengambil alih kerajaan tetapi tidak berlaku. “Pada 2013, seruannya ialah ‘ini kali lah’, tetapi itu pun tak berlaku”.

Beliau berkata: “Apa lagi yang boleh mereka beritahu orang Cina?”