Nik Omar dipecat keahlian serta-merta, kata PAS

Nik Omar (baju Melayu putih) berdepan penyandang dari parti sendiri, Ahmad Fathan Mahmood dan calon BN, Mohamad Fareez Nor Amran di Chempaka. (Gambar Facebook)

KOTA BHARU: Nik Omar Nik Abdul Aziz dipecat keahlian serta-merta kerana melanggar perlembagaan PAS apabila bertanding sebagai calon Pakatan Harapan di DUN Chempaka, kata Setiausaha Agung Datk Takiyuddin Hassan.

Bukan sahaja anak kepada pemimpin besar PAS itu menentang parti sendiri dalam pilihan raya, Nik Omar juga dituduh bertentangan dengan perjuangan bapanya, Nik Abdul Aziz, bekas mursyidul am PAS.

Takiyuddin berkata keputusan itu dicapai selepas berbincang dengan Timbalan Presiden Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dan pimpinan lain.

“Kita mengambil keputusan memecat Nik Omar serta merta sebaik sahaja dia bertanding dengan parti lain. Tindakan menyertai pakatan pembangkang diketuai DAP itu tidak boleh diterima selain dianggap memalukan keluarganya sendiri,” katanya.

Sebelum ini, Takiyuddin berkata pihaknya tidak terkejut dengan tindakan Nik Omar kerana “sudah lama dikait dengan parti itu”.

Sementara itu, Tuan Ibrahim pula terkejut dengan tindakan Nik Omar kerana sebelum ini dia menafikan “khabar angin” mengatakan dia akan bertanding atas tiket parti PH.

“Sebenarnya arwah Nik Aziz pernah berpesan kepada anak-anak agar meneruskan perjuangan PAS tetapi secara peribadinya saya terkejut.

“Apa pun, restu bonda sangat penting, kita hidup di dunia ini bukannya sehari dua, apa pun perbuatan kita restu bonda sangat penting,” katanya kepada pemberita selepas penamaan calon di Kompleks Balai Islam Lundang.

Awal pagi tadi, Nik Omar mencetuskan kejutan apabila muncul di pusat penamaan calon di Pengkalan Chepa diiringi para penyokong PH dan bendera PKR.

Nik Omar berdepan penyandang, Ahmad Fathan Mahmood dari PAS dan calon BN, Mohamad Fareez Nor Amran.

Bonda restu tanding? Nik Omar enggan ulas