Pemuda Umno buat laporan polis terhadap Rafizi

Ibdilillah Ishak menunjukkan laporan polis terhadap Rafizi.

REMBAU: Pemuda Umno membuat laporan polis terhadap Rafizi Ramli kerana mendakwa menteri besar Negeri Sembilan dan pegawai pengurus pilihan raya Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) di Parlimen Rembau menggunakan polis untuk menghalang calon Pakatan Harapan (PH) kemuka borang pencalonan.

Exco Pemuda Umno Ibdilillah Ishak berkata kenyataan Rafizi itu suatu fitnah yang perlu dihentikan segera, serta perlu disiasat bawah Akta Anti-Berita Tidak Benar.

“Tindakan Rafizi itu mencemar nama baik sebuah suruhanjaya yang berkecuali serta individu-individu yang telah dinamakan dalam kenyataan medianya,” kata Ibdilillah di Ibu Pejabat Polis Daerah Rembau petang tadi

Laporan polis dibuat di Balai Polis Pedas, kata Ibdilillah.

Sebelum ini, Rafizi di Twitter mendakwa Datuk Seri Mohamad Hasan dan Pegawai Pengurus Pilihan Raya SPR Amino Agos Suyub memanipulasi pilihan raya menggunakan polis untuk menghalang Dr Streram Sinnasamy bertanding di DUN Rantau.

Naib presiden PKR itu mendakwa Mohamad menang kerana calon PH “dihalang”.

Beliau turut menggesa agar Khairy bertanggungjawab.

Terdahulu, Pakatan Harapan Negeri Sembilan tergamam apabila Streram gagal mempamerkan pas calon yang dikeluarkan SPR, menyebabkan beliau tidak boleh memasuki pusat penamaan calon.

Kegagalan itu menyebabkan Mohamad diumumkan menang tanpa bertanding, kemenangan pertama Barisan Nasional pada pilihan raya umum ke-14.

Streram berkata pihaknya akan mengambil tindakan undang-undang bagi membatalkan kemenangan Mohamad, calon yang sangat popular di Negeri Sembilan.

Kemenangan pertama BN di Negeri Sembilan