Pencalonan Tian Chua ditolak tapi bukan penamat, kata SPR

Pengerusi SPR menasihatkan Tian Chua memfailkan petisyen pilihan raya.

PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menasihatkan Naib Presiden PKR Tian Chua memfailkan petisyen pilihan raya bagi menentukan kelayakan bertanding pilihan raya.

Pencalonan Tian Chua untuk Parlimen Batu ditolak pegawai pengurus pilihan raya pagi tadi.

Pengerusi Tan Sri Mohd Hashim Abdullah berkata keputusan untuk menerima atau menolak pencalonan terletak pada budi bicara pegawai pengurus pilihan raya di pusat penamaan.

“Tian Chua boleh menyerahkan petisyen di mahkamah dan mahkamah akan tentukan perkara ini. Kita akan patuhi keputusan mahkamah,” kata Hashim kepada pemberita di ibu pejabat SPR.

Hashim berkata Tian Chua tidak boleh diketepikan kerana tertakluk kepada keputusan Mahkamah Pilihan Raya.

Tian Chua mahu menyerahkan kertas pencalonan kerana mahu dipilih semula sebagai Ahli Parlimen Batu buat kali ke-3. Pencalonannya ditolak kerana dia pernah dikenakan denda lebih RM2,000 kerana atas tuduhan menghina seorang anggota polis.

Denda dikurangkan kepada RM2,000 selepas merayu ke Mahkamah Tinggi. Perlembagaan Persekutuan melucutkan kelayakan bertanding mana-mana orang yang didenda lebih RM2,000.

Hashim juga ditanya tentang Dr Streram Sinnasamy, seorang lagi calon PKR, yang tidak dibenarkan menyerah kertas pencalonan di DUN Rantau.

Hashim sedang menunggu laporan kejadian kerana tidak mahu mengulas “dakwaan”.

“Kalau beliau tidak berpuas hati, dia juga boleh membuat petisyen,” kata Hashim.

Dilaporkan Streram tidak dibenarkan masuk ke pusat penamaan kerana tidak mempamerkan pas calon SPR. Pencadangnya juga tidak dibenarkan masuk kerana mereka juga tidak mempunyai pas yang berkaitan.