Proses penamaan calon seluruh negara tertib, kata Zahid

Gambar Facebook

BAGAN DATUK: Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menyifatkan proses penamaan calon pilihan raya di seluruh negara hari ini berjalan dengan penuh tertib berbanding pilihan raya sebelum ini.

“Penyokong parti yang bertanding kali ini walaupun ghairah dan bersemangat, tetapi mereka adalah lebih tertib berbanding terdahulu.

“Ini menunjukkan masyarakat dapat menilai perbezaan pendapat melalui sistem demokrasi berbanding melayani perbezaan dengan penuh emosi,” katanya selepas proses penamaan calon di Dewan Gemilang Sekolah Menangah Sains Bagan Datoh hari ini.

Ahmad Zahid berkata seramai 75,000 pegawai dan anggota polis di seluruh negara digerakkan hari ini khususnya di kesemua 222 pusat penamaan calon.

“Sepanjang 11 hari berkempen bermula hari ini sehingga 9 Mei, kita akan menambah jumlah anggota dan pegawai selain turut menggerakkan pasukan formasi polis.

“Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) akan membantu polis mengawal lalu lintas di pusat pengundian, manakala polis akan berada di kawasan mengundi untuk memastikan semua selesa.

“Saya berharap sepanjang tempoh kempen semuanya berjalan dengan lancar dan tiada sebarang insiden yang tidak diingini berlaku,” katanya.

Timbalan pengerusi Barisan Nasional ini juga berkata beliau akan menunggu laporan penuh sekiranya terdapat anggota parti yang bertanding sebagai calon Bebas atau atas tiket parti lain.

Dalam pada itu, beliau bakal berdepan pertandingan 3 penjuru bagi kerusi Parlimen Bagan Datuk.

Zahid yang merupakan penyandang kerusi berkenaan selama 6 penggal sejak 1995 berdepan calon PKR Pakhrurrazi Arshad dan Ata Abdul Muneim Hasan Adli (PAS).

Ibrahim Mat Zin atau Raja Bomoh yang sebelum ini mengumumkan akan turut bertanding kerusi itu, tidak kelihatan sehingga tamat proses penamaan calon pada 10.00 pagi.

Dalam sidang media selepas itu, Ahmad Zahid memberitahu bahawa Raja Bomoh tidak bertanding kerana muflis.

Pada PRU13, Zahid menewaskan calon PKR, Madhi Hasan dalam pertandingan 1 lawan 1 dengan majoriti 2,108 undi.

Calon BN, Shahrul Zaman yang dalam misi mempertahankan DUN Rungkup akan berdepan pertandingan 3 penjuru dengan Hatim Musa (PKR) dan Mohd Mohkheri Jalil (PAS).

Calon BN bagi DUN Hutan Melintang, Datuk Khairuddin Tarmizi akan ditentang calon PKR, G Manivannan dan Mohd Misbahul Munir Masduki (PAS).

Pada PRU13, Shahrul Zaman menang kerusi DUN Rungkup dengan majoriti 613 undi, manakala kerusi DUN Hutan Melintang dimenangi calon PKR S Kesavan, yang kini beralih bertanding ke kerusi Parlimen Sg Siput, dengan majoriti 1,240 undi.