Puad tidak sertai 3 penjuru di Batu Pahat

BN, Haliza Abdullah (kiri) akan bertemu calon PH, Datuk Mohd Rashid Hasnon (tengah) dan calon PAS, Datuk Mahfodz Mohamed.

BATU PAHAT: Ketua Umno Batu Pahat Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi tidak muncul untuk menyerahkan borang pencalonan hari ini, menyahkan spekulasi yang beliau akan bertanding sebagai calon bebas selepas digugurkan Barisan Nasional.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hari ini mengumumkan pertandingan 3 penjuru di Parlimen Batu Pahat, melibatkan calon BN, Pakatan Harapan dan PAS.

Calon BN, Haliza Abdullah, ketua Wanita Umno Batu Pahat, akan bertemu calon PH, Datuk Mohd Rashid Hasnon, bekas timbalan ketua menteri Pulau Pinang, dan calon PAS, Datuk Mahfodz Mohamed, ketua Ulama PAS.

Kerusi itu ketika ini dipegang PKR, yang menewaskan Puad pada PRU13 dengan majoriti 1,732 undi.

Calon BN berterima kasih kepada Puad kerana tidak menganggu perlawanan di Batu Pahat, dan berharap mereka dapat bertemu, berstrategi dan bekerjasama sehingga hari pengundian.

“Saya tidak pernah ada masalah dgn ketua bahagian saya. Saya tak boleh berkhidmat kalau saya ada masalah dengan kepimpinan bahagian,” kata Haliza.

Di peringkat DUN pula, Kang Beng Kuan (BN) akan dicabar Gan Peck Cheng (PH) dan Misran Samian (PAS) di Penggaram, Zaidi Jaffar (BN) akan dicabar Khairuddin Abd Rahim (PH) dan Mohd Ramli Md Kari (PAS) di Senggarang, dan Ayub Ramli (BN) akan dicabar Malik Faishal Ahmad (PH) dan Mohd Tumiran Ahmad (PAS).

Pada 22 April lalu, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dilaporkan berkata, keputusan tidak meletakkan Puad sebagai calon berdasarkan hasil penilaian landskap politik negara.

Katanya, Puad perlu menerima hakikat kawasan itu dalam keadaan agak parah dari segi kerosakan dan hakisan sokongan kepada BN, oleh itu mereka menurunkan calon lain dengan harapan dapat merampas kerusi itu daripada PKR.