Sultan Johor nasihat jangan bertanding, kata Puad Zarkashi

Gambar Facebook

BATU PAHAT: Selepas diasak media, Datuk Mohd Puad Zarkashi akhirnya mendedahkan sebab beliau tidak menyertai perlawanan 3 penjuru di Batu Pahat sebagai calon bebas, iaitu akur kepada nasihat Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.

Ahli majlis tertinggi Umno itu berkata sebagai seorang rakyat yang setia pada raja akan patuh dengan arahan itu.

“Saya yakin sudah tentulah Tuanku memberikan nasihat itu atas kepentingan ‘Bangsa Johor’. Saya mengambil kesempatan ini untuk menjunjung kasih terhadap Tuanku Sultan Johor di atas keperihatinan, tunjuk ajar dan nasihat beginda yang sudah tentu banyak hikmahnya,” katanya dalam kenyataan.

Puad sebelum itu enggan memberitahu sebab beliau tidak menyertai perlawanan antara Barisan Nasional, Pakatan Harapan dan PAS di Parlimen Batu Pahat sebagai calon bebas, selepas tidak terpilih sebagai calon BN.

Pemberita ternanti-nanti penampilan Puad, yang dikatakan mahu menyertai pertandingan di Batu Pahat menentang BN, PH dan PAS, tetapi beliau tidak muncul untuk menyerahkan kertas pencalonan.

Ketua Bahagian Umno Batu Pahat itu sedar akan ada orang mengutuknya kerana menukar fikiran.
.
Calon BN, Haliza Abdullah, ketua Wanita Umno Batu Pahat, akan bertemu calon PH, Datuk Mohd Rashid Hasnon, bekas timbalan ketua menteri Pulau Pinang, dan calon PAS, Datuk Mahfodz Mohamed, ketua Ulama PAS.

Kerusi itu ketika ini dipegang PKR, yang menewaskan Puad pada PRU13 dengan majoriti 1,732 undi.