Tak tahu Nik Omar akan bertanding, Hadi kata tak jejas PAS

Hadi ditemui pemberita sementara menunggu keputusan rasmi pencalonannya.

MARANG: Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata partinya tidak tahu anak kepada pemimpin besar PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat akan bertanding menentang parti itu.

Meskipun Nik Omar hari ini tampil bersama-sama Pakatan Harapan di DUN Chempaka, Hadi percaya ia tidak akan menggugat PAS yang memerintah Kelantan sejak 1990-an.

Beliau juga menyifatkan pencalonan Nik Omar, sekiranya disahkan betul, cuma mewakili undi protes “yang kecil dan sedikit”.

“Tidak boleh menarik ahli PAS apa lagi kita dapati parti ini didukung oleh pihak tertentu,” kata Hadi pada sidang media selepas menyerahkan borang pencalonan di Marang.

Awal pagi ini Nik Omar muncul di tempat penamaan calon di Dewan Teknologi Pendidikan Kelantan di DUN Chempaka untuk menyerahkan borang mewakili Pakatan Harapan.

Menurut sumber Amanah, keputusan bertanding itu dibuat pada saat akhir selepas Nik Omar merasakan dia perlu meneruskan legasi Nik Aziz di kerusi bapanya itu.

Nik Omar akan menentang penyandang, Ahmad Fathan Mahmod dari PAS dan calon BN Mohamad Fareez Bin Noor Amran.