Tuan Ibrahim berkubu di Kubang Kerian, hadapi PH, BN

Tuan Ibrahim (kiri) dan Abdul Ghani (tengah) dan Abdul Halim (kanan) ketika di tempat penamaan calon.

KUBANG KERIAN: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan Timbalan Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man akan dicabar calon Pakatan Harapan, Datuk Abdul Halim Yusof dan calon Barisan Nasional, Datuk Seri Muhamad Abdul Ghani di Parlimen Kubang Kerian.

Kerusi itu dirasakan antara kerusi selamat buat PAS yang menang besar dengan majoriti 16,741 undi pada PRU13. Kerusi Parlimen dan 3 DUN bawahnya dimenangi parti Islam itu.

Di peringkat DUN pula, Salor, Demit dan Pasir Tumboh turut menyaksikan perlawanan 3 penjuru antara PAS, PH dan BN.

Di Salor, Saiful Adli Abu Bakar akan ditentang pemimpin Amanah, Husam Musa dan calon BN, Mohamad Noordin Awang. Di Demit, Mumtaz Md Nawi (PAS) akan ditentang Nurul Amal Mohd Fauzi (BN) dan Wan Ahmad Kamil Wan Abdullah (PH), manakala di Pasir Tumbuh, Ab Rahman Yunus (PAS) akan ditentang Bakri Yusoff (BN) dan Mohd Nor Yazid (PH).

Mengikut daftar pemilih suku tahun ke-4 2017 yang diwartakan pada 10 April, jumlah pengundi adalah 14,940,624, dengan jumlah pengundi lelaki 7,383,437 (49.42%) dan pengundi perempuan 7,557, 187 (50.58%).