Ubah bukan selalunya jadi baik, Musa beritahu Sabah

KOTA KINABALU: Ketua Barisan Nasional Sabah Tan Sri Musa Aman mengingatkan rakyat bahawa perkataan “ubah” sering digunakan oleh orang yang gagal.

“Mengubah kerajaan negeri tidak semestinya kerajaan baharu mampu membawa perubahan yang rakyat inginkan.

“Negeri-negeri di Semenanjung di bawah parti pembangkang persekutuan masih lagi kekurangan dalam banyak perkara,” katanya, merujuk kepada Selangor dan Pulau Pinang, yang ditadbir Pakatan Harapan, dan Kelantan, yang ditadbir PAS.

Rakyat perlu menilai niat pembangkang dan tidak termakan janji-janji yang tidak mungkin dapat dipenuhi.

“Jika dibandingkan dengan pembangkang, kerajaan sekarang mempunyai rekod prestasi yang terbukti dan dapat memenuhi janji-janjinya dan juga membawa banyak pembangunan demi kebaikan rakyat,” kata Musa.

Dia juga berpesan kepada pengundi muda, meminta mereka supaya berwaspada dengan pembohongan mengenai kerajaan BN.

“Aspirasi belia akan terus menjadi keutamaan BN dan kami hargai pendapat mereka demi pembangunan negara,” katanya.

Terdahulu di pelancaran jalan pintas Kem Tentera di Batu 7, Sandakan, ketua menteri Sabah ini mengumumkan semua penyewa Projek Perumahan Rakyat (PPR) di negeri itu akan ditawarkan skim sewa beli.

Katanya, permohonan untuk tawaran itu sebelum ini diajukan kepada perdana menteri dan kementerian kesejahteraan bandar, perumahan dan kerajaan tempatan dan dia dimaklumkan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri Tan Sri Sukarti Wakiman bahawa permohonan itu sudah diluluskan.

“Saya tahu ia akan membantu penyewa PPR kerna sebelum ini mereka hanya boleh menyewa tanpa sebarang kemungkinan untuk memiliki sebuah rumah. Sudah tiba masanya penyewa PPR yang berharap diberi perhatian sewajarnya,” katanya.