Calon STAR anggap 4 penjuru beri kelebihan

Kong Fui Seng berkata pertembungan antara BN dan Warisan akan memecahkan undi masing-masing kecuali penyokong STAR.

KENINGAU: Calon Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) di DUN Liawan, Sabah, Kong Fui Seng percaya pertandingan 4 penjuru akan memberi kelebihan kepadanya.

Katanya, pengundi calon Barisan Nasional (BN) yang juga penyandang, Datuk Sairin Karno akan berkurangan kerana Parti Warisan Sabah (Warisan) turut bertanding.

“Calon Warisan di DUN Liawan bekas ahli Umno dan sudah pasti penyokong mereka juga telah berpecah. Ada yang masih bersama Umno dan ada juga yang telah berhijrah ke Warisan.

“Kita juga mempunyai penyokong yang ramai selain faktor pengundi yang mahu berubah kerana wakil rakyat di sini gagal melaksanakan tugasnya sepanjang 15 tahun dia jadi YB (Yang Berhormat),” katanya ketika ditemui hari ini.

Ahli perniagaan berusia 57 tahun itu berkata, isu utama di Liawan ialah mengembangkan pertanian dan perniagaan di situ.

“Bagaimanapun, Sairin gagal melaksanakannya walaupun dia dilantik sebagai pembantu menteri pertanian dan industri makanan Sabah,” katanya.

Selain pertembungan antara Kong dan Sairin di Liawan, turut bertanding ialah calon Warisan, Rasinin Koutis @ Kautis dan Hussein Jaimis Kassim dari Parti Cinta Sabah (PCS).

Pada PRU13, DUN Liawan dimenangi Sairin dengan majoriti 1,752 undi.