Dr M pertahan dakwaan cubaan sabotaj jet peribadi

Pengerusi PH memberitahu hadirin dia merasakan ada cubaan mensabotaj pesawat yang sepatutnya dia naiki ke Langkawi.

LANGKAWI: Pengerusi Pakatan Harapan Tun Dr Mahathir Mohamad mempertahankan dakwaan tentang adanya percubaan mensabotaj kapal terbang yang sepatutnya beliau naiki ke Langkawi bagi menyerahkan borang penamaan calon.

Dr Mahathir berkata kerosakan pada pesawat boleh mengakibatkan kemalangan maut dan ia merupakan perkara yang serius.

“Ia bukan sahaja boleh menyebabkan bahaya dan kecederaan, tetapi saya mungkin tidak boleh pergi ke Langkawi dan tidak dapat menyerahkan borang pencalonan saya.

“Oleh sebab itu saya anggap apa yang berlaku kepada kapal terbang itu serius. Saya dapati ada kemungkinan ia dilakukan oleh seseorang.

“Saya tak tahu dan tak ada bukti, tetapi kemungkinan itu ada. Saya percaya kapal terbang itu dirosakkan dengan sengaja bagi menghalang saya ke Langkawi,” katanya dalam ceramah di Dewan Ho Peng semalam.

Ceramah dihadiri lebih 500 penduduk, dan turut hadir calon PH bagi DUN Kuah, Mohd Firdaus Ahmad dan DUN Ayer Hangat, Juhari Bulat.

Terdahulu, Pengerusi Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM), Azharuddin A Rahman berkata “ia masalah teknikal biasa dan rutin, dan dakwaan ia perbuatan sabotaj ke atas kapal terbang itu sangat serius dan boleh memberi kesan ke atas reputasi penerbangan Malaysia dan negara secara keseluruhan, terutama dalam tempoh pilihan raya sekarang.

“Membuat dakwaan liar dan palsu sebegitu untuk tujuan politik adalah perbuatan yang tidak bermoral,” katanya.

Dr Mahathir berkata beliau tidak menuduh CAAM tetapi hanya menyebut perkara yang berlaku, dan mereka juga mengakui kapal terbang tidak boleh berlepas kerana ada masalah.

“Sama ada ia disebabkan sabotaj atau sebaliknya tidak boleh ditentukan oleh CAAM jika tiada siasatan dibuat.

“Saya fikir ia sengaja dilakukan bagi menghalang saya menjadi calon.

“Jika CAAM berkata saya membuat dakwaan yang serius, maka ia adalah dakwaan yang serius. Jika saya tidak dapat serah borang penamaan calon dan menjadi calon, itu akan memberi Barisan Nasional laluan mudah untuk menang,” katanya.

Pengerusi PPBM itu berkata beliau bertanya 3 kawannya yang memiliki jet persendirian, tetapi semua mereka berkata tidak dapat meminjamkan jet kepada beliau.

Mahathir mendakwa seorang daripada mereka memberitahu beliau mendapat amaran daripada orang tertentu supaya tidak meminjamkan pesawat kepada beliau.

“Seolah-olah ada orang yang tahu tentang masalah pada kapal terbang itu dan cuba memastikan tidak ada kapal terbang lain yang boleh saya pinjam untuk ke Langkawi,” kata beliau.