Juwairiya, calon bidan terjun yang lama berkhidmat

Juwairiya Zulkifli diminta menggantikan apabila kertas pencalonan calon pilihan PKR ditolak.

KUALA SELANGOR: Juwairiya Zulkifli sudah hampir 2 tahun turun padang dan berkhidmat di DUN Bukit Melawati walaupun dia hanya calon bidan terjun menggantikan pilihan asal PKR.

Beliau mendedahkan arahan turun padang sebagai persediaan kepada bakal calon sepertinya. “Tidak semestinya menjadi calon tetapi kita diajar untuk buat kerja dahulu”.

“Pencalonan ini dengan izin Allah. Di peringkat awal saya rasa agak terkilan kerana tidak dicalonkan,” kata Juwairiya ketika ditemui FMT.

Juwairiya diminta ke depan apabila kertas pencalonan calon pilihan, G Sivamalar ditolak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) kerana melanggar peraturan alamat tempat tinggal.

SPR menerima pencalonannya selepas menerima watikah pelantikan serta wang deposit. Wanita berusia 33 tahun ini berdepan penyandang, Jakiran Jacomah dari Barisan Nasional dan calon PAS, Muhammad Rashid Muhammad Kassim.

Juwairiya memberitahu FMT beliau satu-satunya calon wanita Melayu di DUN Bukit Melawati sejak 2008.

“Namun isu jantina dan kaum bukan keutamaan. Yang penting adalah bagaimana anda berkhidmat untuk rakyat,” katanya.

Gerun dengan calon BN, PAS

Juwairiya akui berasa gerun dengan calon-calon yang diturunkan BN dan PAS memandangkan mereka watak besar di DUN Bukit Melawati.

“Kerusi di sini adalah kerusi yang sukar dan tidak ada sebab untuk pucuk pimpinan tidak memberikan tumpuan. Calon BN, Jakiran Jacomah adalah orang yang berpengaruh.

“PAS pula meletakkan Muhammad Rashid yang merupakan bekas guru besar di salah sebuah sekolah di sini. Kerja saya bukan mudah di sini.

“Jakiran seorang yang peramah, dia disenangi kawan dan lawan. Saya sendiri hormati dia kerana rajin mendekati rakyat namun apa yang saya lihat dia jarang berbahas di Dewan Negeri Selangor,” katanya.

Juwairiya berkata isu skandal 1MDB tidak mudah diterangkan kepada penduduk tetapi isu seperti GST lebih mudah difahami.

“Banyak lagi yang perlu dibuat di sini, terutamanya isu nelayan. Saya yakin ada peluang cerah untuk PH menang di DUN Bukit Melawati termasuk Parlimen.”

Beliau berkata dirinya tiada masalah dengan para penyokong PAS, parti yang pernah menjadi sekutu PKR sehinggalah PAS memutuskan kerjasama pada 2017.

“Sama ada bersama PAS atau tidak bersama PAS, kita tetap terus membantu. Bukan sebab politik dan bukan sebab kita ada masalah dengan PAS,” katanya.