Keluarga Hadi besar, peluang Khalil menang cerah

Wan Sukairi berkata banyak faktor yang memberi kelebihan kepada Khalil di DUN Batu Burok

KUALA TERENGGANU: PAS Kuala Terengganu berkata ahli keluarga Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang ramai antara banyak faktor yang memberi kelebihan kepada anaknya, Muhammad Khalil, yang bertanding di DUN Batu Burok.

Yang Dipertua Wan Sukairi Wan Abdullah berkata kekuatan jentera parti dan jumlah pengundi tegar parti Islam itu mencerahkan lagi peluang ketua Pemuda PAS itu.

“Keluarga dia besar sebab Batu Burok ini bersebelahan dengan Rhu Rendang, khususnya Rusila (tempat kelahiran Khalil),” kata Wan Sukairi.

“Pengundi DUN Batu Burok boleh kata majoriti bersama kita, ditambah pula BN mempunyai masalah dengan calon sendiri kerana masing-masing berebut nak jadi calon.”

Batu Burok boleh dikatakan kerusi kerusi tradisi PAS, pada pilihanraya lepas Syed Azman Syed Ahmad Nawawi menang di Baru Burok dengan majoriti 2,273 undi.

BN mempertaruhkan Zambri A Hitam untuk berdepan Khalil sementara Pakatan Harapan (PH) menurunkan pengerusinya Datuk Raja Kamarul Bahrin Raja Ahmad.

“Umum orang dah kenal Khalil,” kata Wan Sukairi, yang membayangkan warga Batu Burok menghormati anak Hadi itu. “Dari segi akademik, beliau bukan sahaja mendapat pendidikan di Timur Tengah tapi juga di United Kingdom. Dia boleh bercakap Bahasa Arab dan Inggeris.”

“Setakat 3, 4 hari kempen sambutan di bawah sangat hebat,” tambahnya.

Penduduk yang ditemui FMT sememangnya mengenali Khalil, namun sokongan pengundi masih terbahagi.

“Semua orang kenal dan tahu perangai dia macam mana, boleh mengajar agama, sopan, tak ada isu,” kata Mohamad Amran.

“Saya tidak kisah, janji calon PAS. Khalil anak muda, bertenaga, jadi bagus dia datang sini,” kata Abdul Syukor pula.

Namun bagi Siti Halimah, beliau lebih gemarkan calon anak tempatan. “Memang kita kenal dia tapi molek calon tu biar la orang sini,” katanya.

“Kalau boleh calon kita di Batu Burok ini buar yang boleh buat pembangunan, bukan tahu cakap agama sahaja,” kata Suhaimi.