MCA pecat 7 kerana bertanding calon bebas, parti lawan

ALOR SETAR: MCA memecat 12 ahli selepas didapati melakukan tindakan bercanggah dengan perlembagaan parti, berkuat kuasa hari ini.

Pengerusi Lembaga Tatatertib MCA Tan Sri Chor Chee Heung berkata 7 daripada mereka bertindak menjadi calon bebas dan calon parti lawan manakala 5 lagi menjadi pencadang dan penyokong atau saksi kepada calon-calon itu.

“Kita dapati 12 anggota ini bersalah dan bercanggah dengan Perkara 122 perlembagaan parti. Perbuatan mereka ini menjejaskan imej parti dan seolah-olah sabotaj calon Barisan Nasional (BN) di kawasan mereka bertanding,” katanya pada sidang media hari ini.

Beliau berkata mereka yang dipecat ialah 2 ahli MCA Tebrau, Ting Choon Hai dan Lim Yak Hong, yang bertanding sebagai calon bebas di DUN Puteri Wangsa manakala Tee Boon Tsong dan Ng Yak Howe daripada MCA Pulai dan Bakri pula menjadi calon DAP di DUN Senai dan Bentayan .

Selain itu, 2 ahli MCA Batu Gajah, Chin Kwai Heng dan Chin Kwai Leong bertanding sebagai calon Parti Sosialis Malaysia (PSM) di DUN Tronoh dan Menglembu serta seorang ahli MCA Bukit Mertajam (Yeo Keng Chuan) bertanding sebagai calon PKR di DUN Kulim.

Chor berkata keputusan memecat 12 ahli terbabit dibuat selepas mendapat persetujuan daripada majlis presiden semalam.

“Lembaga Tatatertib selepas melihat dengan teliti senarai nama ini maka di bawah Perkara 124(1), kami telahpun mengesyorkan 12 ahli ini dipecat daripada parti dengan serta-merta. Lembaga Tatatertib tidak mempunyai hak atau kuasa untuk pecat.

“Kita hanya memberi syor dan kita telah buat syor kepada majlis presiden dan mereka bersetuju dengan syor kita untuk memecat 12 ahli ini dan majlis presiden mengarahkan saya untuk mengadakan sidang media di sini,” katanya.

Beliau berkata pihaknya akan menyerahkan surat pemecatan itu kepada mereka hari ini.

Chor juga berkata tindakan memecat 12 ahli untuk mengingatkan semua ahli parti supaya tidak mengambil tindakan terburu-buru selain menggunakan saluran yang betul untuk menyuarakan ketidakpuasan hati.