Mengingati Dato Koyah, fakir mistik Pulau Pinang

Dulu dan sekarang – poskad dari 1900-an dan makan yang dipulihkan hari ini.

GEORGE TOWN: Legenda Dato Koyah memang mengasyikkan. Beliau dikatakan membina jalan seorang dirinya, menyembuhkan orang sakit dengan daun-daunan dan memberikan gula-gula yang dipetik dari udara kepada kanak-kanak.

Ahad ini, makam yang dibina sebagai penghormatan kepada beliau di Jalan Transfer di sini akan dibuka semula setelah melalui proses pemulihan yang menelan kos RM1.2 juta.

“Masyarakat India Muslim Pulau Pinang sangat mengingati beliau,” kata Setiausaha Persatuan Warisan Dato Koyah, Adam Malik Shahul Hamid. “Ibu kami selalu menceritakan kisah mistik berkenaan Dato Koyah sebagai cerita sebelum tidur.”

Pagar kayu dengan ukiran kalimah-kalimah keagamaan mengelilingi makan Dato Koyah.

Projek pemulihan 3 tahun itu disokong oleh Think City, agensi Khazanah Nasional yang membiayai 1/3 daripada kosnya. Baki jumlah kos diterima daripada sumbangan masyarakat India Muslim.

“Kini kami menugaskan penyelidik mencari sebarang rekod yang mungkin ada di British Library di London mengenai Dato Koyah untuk mengenali beliau lebih dekat,” katanya kepada FMT.

Makam itu sebelum ini terbiar dengan dindingnya telah retak. Ia tidak dipedulikan dan beberapa gerai roti canai dibuka di pintu masuknya.

Tingkap “portal” dari 1800-an yang dipelihara bagi membolehkan peredaran udara bersilang.

Adam Malik bertanggungjawab ke atas kerja pemulihan yang dijalankan, yang dilakukan dengan bantuan pakar pemulihan profesional, Gwynn Jenkins.

“Kami gunakan bahan sama yang digunakan lebih 200 tahun lalu,” katanya.

Beliau berkata kerja pemulihan itu dibuat dengan begitu teliti dan tepat sehingga mereka memotong kecil 18,000 bata bersaiz biasa kepada saiz 2 inci tinggi (5cm) kerana itulah saiz bata yang digunakan pada abad ke-19.

Kayu di bahagian atap dan kuda-kuda makam itu juga menghampiri yang asli, dengan menggunakan kayu cengal emas terbaik berusia 160 tahun bagi membuatnya.

Makan Dato Koyah di Jalan Transfer dibina bagi memperingati ahli ibadat yang hidup pada awal 1800-an.

“Kami hadapi masalah mendapatkan 2 keping kayu untuk bahagian atapnya yang rata. Kami diberitahu adalah mustahil mencarinya sekarang,” kata beliau.

“Beberapa hari lepas, kami diberitahu kayu itu boleh diperolehi dari sebuah kapal layar berusia 130 tahun yang tidak digunakan lagi di Lumut. Kami percaya ia adalah ‘keajaiban’ Dato Koyah,” tambahnya.

Adam berkata identiti sebenar Dato Koyah belum diketahui dengan jelas. Tiada gambar beliau dan tarikh tepat kematiannya juga tidak diketahui.

“Kita hanya tahu beliau meninggal dunia pada 5 haribulan Safar menurut kalendar Islam. Kenduri dan majlis tahlil selama 10 hari diadakan setiap tahun bersempena kematian beliau,” katanya.

Kerja-kerja membuang lapisan luar bangunan itu pada 2015 untuk pemulihan.

Menurut cerita lisan, Koyah yang pada waktu itu dikenali sebagai Syed Mustapha Idris belayar ke Pulau Pinang pada awal 1800 setelah diusir dari Kerala kerana didakwa bersubahat dalam satu pembunuhan.

Beliau kemudian dikenali sebagai ahli ibadat yang bergantung hidup dengan sedekah orang ramai.

Beliau dikatakan boleh menyembuhkan orang sakit, selain suka membantu orang miskin dan bernasib malang, dan dapat memberi makan bubur kepada ramai orang daripada periuk tanah yang kecil.

Beliau terkenal sebagai seorang “fakir” atau “koyah”, iaitu ahli ibadat yang hidup atas sedekah orang ramai.

Dato Koyah selalu ditemui berehat di bawah sebatang pokok besar dan menggunakan daunnya untuk membuat ubat.

Bumbung sementara dibina untuk melindungi makan itu sementara bumbung digantikan untuk pemulihan.

British terkejut dengan kebolehannya

Beliau pernah dipenjarakan oleh pentadbir British kerana berdemonstrasi membantah perbuatan memukul buruh banduan.

Pada abad ke-19 banyak bangunan dan jalan, termasuk ibu pejabat polis negeri yang ada hari ini, dibina oleh buruh banduan berketurunan Malabari.

Beliau ditangkap bersama-sama buruh banduan tersebut, tetapi pada keesokan harinya dilihat bebas berjalan di luar, sementara jalan yang sedang dibina telah siap terbina.

Pekerja mengikis plaster kapur lama di luaran bangunan.

Pihak British kemudiannya menggunakan Dato Koyah untuk membina beberapa batang jalan yang sukar.

Selepas kematiannya, pentadbir British memberikan sekeping tanah berhampiran pokok besar itu sebagai makam bagi menghormati beliau.

Jalan Dato Koyah bertentangan dengan tanah tersebut dinamakan bersempena nama beliau.

Hampir 2,000 bata bersaiz biasa dipotong kepada saiz 2 inci untuk menggantikan dinding yang rosak.

Sejak itu ramai orang datang ke lokasi tersebut untuk bertawasul memohon penyelesaian kepada masalah yang dihadapi. Ia juga menjadi tapak perhimpunan kerohanian masyarakat India Muslim.

Pelawat datang ke makam tersebut pada hari Khamis untuk membaca surah Yaasin. Bunga-bungaan segar turut diletakkan di situ.

Struktur makam itu kini dimasukkan ke dalam senarai bangunan warisan Kategori 1, satu lagi ciri khas George Town sebagai bandar warisan Unesco.

Poskad lama dari 1900-an menunjukkan makan Dato Koyah dalam keadaan asal.

Adam berkata, bangunan itu dibina dengan reka bentuk unik dengan tingkap “portal” di dindingnya dan diplaster menggunakan kapur bagi membolehkan peredaran udara bersilang berlaku. Keadaan di dalam makam akan tetap dingin walaupun pada hari paling panas sekalipun, katanya.

“Majlis doa ‘maulud’ akan diadakan pada jam 10.00 pagi Ahad ini. Exco Chow Kon Yeow dan Datuk Abdul Malik Kassim dijangka merasmikan pembukaan semula makam tersebut.