Polis benarkan juruaudit 1MDB rujuk dokumen asal, kata Arul Kanda

CEO 1MDB Arul Kanda berkata polis mengambil pelbagai dokumen asal daripada pejabat 1MDB pada Julai 2015. (Gambar Facebook)

SHAH ALAM: Firma audit Parker Randall, yang dilantik sebagai juruaudit baharu 1MDB, kini boleh merujuk kepada dokumen asal yang dirampas polis sebelum ini untuk menyiapkan laporan kewangan syarikat pelaburan strategik negara itu.

Ketua Pegawai Eksekutif Arul Kanda Kandasamy berkata, polis memberi kebenaran kepada firma audit itu bulan lepas untuk mengakses beberapa dokumen asal termasuk lejar dan baucar pembayaran.

“Dengan ketiadaan dokumen asal, juruaudit 1MDB tidak dapat menyelesaikan audit syarikat,” katanya ketika ditemui pemberita selepas memberikan ceramah isu-isu semasa mengenai 1MDB semalam.

Beliau berkata polis mengambil pelbagai dokumen asal daripada pejabat 1MDB bagi tujuan siasatan pada Julai 2015.

Justeru, 1MDB tidak dapat membentangkan laporan tahunan untuk 2015, 2016, 2017 kerana dokumen-dokumen penting masih dalam simpanan pihak polis.

Syarikat audit antarabangsa itu merupakan juruaudit keempat yang dilantik 1MDB, selepas Ernst & Young, KPMG dan Deloitte, sejak ditubuhkan pada 2009.