Sukar hadapi DAP, kata Gerakan

Soo menyeru pengundi jangan terpesona selama 11 hari, tetapi rugi selama 5 tahun. (Gambar Facebook)

TAIPING: Pengerusi Gerakan Perak, Soo Kay Ping mengaku beliau menghadapi kesukaran memenangi sokongan pengundi Cina dalam menghadapi calon DAP di kerusi DUN Aulong pada pilihan raya kali ini.

Beliau mendakwa, ramai pengundi Cina dalam keghairahan mereka menukar kerajaan tidak mahu ambil peduli tentang kebaikan yang dilakukan oleh kerajaan Barisan Nasional walaupun mereka menyedarinya.

Katanya mereka percaya sebagai komponen BN, Gerakan dan MCA akan terus mewakili kepentingan masyarakat Cina walaupun jika calon parti itu kalah dalam pilihan raya.

Bagaimanapun katanya,kepercayaan itu tidak benar sepenuhnya.

“Realitinya, mereka yang tewas mungkin sekali-sekala boleh mendapatkan pertolongan tertentu, tetapi mereka tidak boleh membuat keputusan, hadir mesyuarat kerajaan negeri dan pusat atau menjadi sebahagian daripada proses pentadbiran,” katanya kepada FMT.

“Soalannya adakah penduduk Aulong dan Taiping mahu seseorang yang boleh bekerja atau orang yang jarang turun ke lapangan dan memberi alasan bahawa dia tidak boleh berbuat apa-apa kecuali partinya menguasai Putrajaya dan kerajaan negeri.”

Aulong yang mempunyai lebih 55% pengundi Cina bakal menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara Soo dengan calon DAP, Nga Kor Ming. Pengundi Melayu mewakili 27% dan India 18% daripada keseluruhan pengundi.

Nga Kor Ming (tengah) berkata Umno tidak menghormati Gerakan, MCA dan MIC.

Nga terkenal dengan ucapan berapi-apinya, dan Soo berkata beliau boleh menandingi kebolehan itu tetapi tidak melakukannya kerana tidak mahu membangkitkan emosi.

“Ucapannya bertujuan menimbulkan kebencian,” katanya. “Beliau bercakap dengan emosi, saya kemukakan fakta. Saya berkhidmat untuk menyelesaikan masalah, bukan menciptanya.

Soo, yang merupakan jurutera komputer, menyertai Gerakan pada 1999. Pada 2006, beliau dilantik sebagai ahli Majlis Perbandaran Taiping dan menyaksikan dirinya membantah cadangan mengenakan bayaran parkir ke atas motosikal. Beliau mendakwa bantahan keras daripadanya berjaya mengalahkan cadangan itu.

Pada PRU lepas, beliau tewas di tangan calon DAP, Low Thye Yin, dengan mendapat hanya 32.9% undi. Untuk PRU kali ini, beliau percaya mempunyai peluang 50-50 untuk memenanginya.

Soo juga percaya pengundi akan menghargai rekod khidmatnya kepada masyarakat.

“Nga hebat bercakap, tapi tidak pada kerja,” katanya. “Jangan terpesona selama 11 hari, tetapi rugi selama 5 tahun,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, pengerusi DAP Perak itu bagaimanapun menafikan beliau mengamalkan politik kebencian, sebaliknya mendakwa beliau hanya menyampaikan mesej pembaharuan.

Beliau seterusnya mempertahankan rekod khidmatnya selama ini tidak seperti yang didakwa oleh pesaingnya itu.

“Sepanjang 10 tahun ini, DAP Taiping berjaya menyelesaikan lebih 3,000 kes. Kami ada 3 pusat khidmat dengan petugas tetap dan sebuah pusat khidmat bergerak”, katanya.

Penyandang kerusi Parlimen Taiping itu juga menolak tuduhan beliau mengamalkan politik benci, sebaliknya mendakwa Umno, sebagai parti dominan dalam BN, secara perlahan-lahan “membunuh” rakan komponennya.

Beliau berkata, Umno tidak menghormati parti komponen dalam BN seperti Gerakan, MCA dan MIC, dan akan mengambil alih kerusi yang secara tradisi ditandingi oleh parti tersebut.

Kuala Sepetang, Lumut dan Hutan Melintang kini ditandingi oleh calon Umno, bukannya calon parti komponen seperti sebelum ini.

“Tetapi MCA, MIC dan Gerakan terus diam,” katanya, dan berkata ia adalah tanda parti itu “dibunuh” secara perlahan-lahan.

Baru-baru ini, sumber dalaman BN memberitahu FMT, pembangkang tidak akan memperoleh semula kuasa di Perak kerana kehadiran orang seperti Nga dalam kalangan mereka.

Nga bertanding mempertahankan kerusi Parlimen Taiping dan di DUN Aulong pada PRU14 kali ini.